Solat Tarawih : 8 Atau 20 Rakaat ?


 السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Sebagai menyambut kedatangan bulan Ramadhan yang tidak lama lagi, saya ingin berkongsi sedikit maklumat dengan pembaca sekelian berkenaan pendapat yang diutarakan oleh Mufti Mesir sekarang, iaitu Sahibus Samahah, Fadhilah Prof Dr Ali Jumaah berkenaan Solat Tarawih di bulan Ramadhan. Sedikit maklumat tentang biodata Dr Ali Jumaah. Beliau merupakan seorang ulama’ tersohor di Mesir dan tergolong dari kalangan ulama terkemuka di Mesir dan di dunia  kerana untuk menjadi seorang Mufti di Mesir bukanlah mudah. Di sana ada ratusan ribu ulama kalaupun tidak jutaan dan seseorang yang dilantik sebagai Mufti adalah seorang yang telah membuktikan keupayaan keilmuannya yang tinggi. Dari segi hiraki ulama pula, Mufti berada di ranking kedua selepas Shekhul Al-Azhar di Mesir.


Persoalan yang dikupas oleh Dr Ali Jumaah dalam kitabnya al-Bayan, mukasurat 272-82 adalah berkenaan satu soalan yang dikemukakan kepada beliau iaitu: masyarakat berbeza pendapat dlm soal bilangan rakaat solat Tarawih, apakah hukum yang sahih dalam perkara ini?
Jawapan dari Dr Ali Jumaah adalah seperti berikut: kita pada hari ini hidup dalam satu keadaan antara mereka yang begitu rigid yang mahukan orang lain mengikut kefahaman dan mazhab mereka dan antara orang awam yang tidak mendapati pemimpin yang boleh memandu mereka. Sebab perselisihan ini adalah berkenaan bilangan solat Tarawih spt yang ditanyakan di atas. Lalu ada di sana suara-suara lantang menyalahkan para pemimpin, ulama dan ummat, mengingkari mereka itu dan menuduh para ulama ini mengadakan bidaah (rekaan dalam urusan ibadat), mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah lalu golongan itu berkata: tidak harus solat tarawih lebih dari lapan rakaat!

Perkataan TARAWIH dari segi bahasa adalah kata jama’ (plural) dari TARWIHAH. Ibn Manzur (Kamus Lisanul Arab, vol. 2, m.s. 462) menyatakan: tarwihah dalam bulan Ramdhan, dinamakan sedemikian kerana manusia berehat selepas setiap 4 rakaat. Dan menurut Ibn Manzur lagi, dalam satu Hadith, Solat Tarawih itu (dinamakan sedemikian) kerana mereka berehat antara dua salam (4 rakaat). Dan Tarawih itu adalah kata plural kepada tarwihah…

Tegas Dr Ali Jumaah lagi, melalui definasi bahasa sudah menjelaskan bahawa Solat Tarawih itu lebih dari lapan (8) rakaat kerana perkataan TARAWIH hanya boleh digunakan apabila seseorang itu solat sekurang-kurangnya 3 kali rehat dan kata jamak TARAWIH (plural) dalam bahasa Arab hanya boleh digunakan dari tiga rehat ke atas.

Yang  tepatnya, menurut Dr Ali Jumaah ialah bahawa umat sepakat menyatakan solat Tarawih adalah dua puluh (20) rakaat tanpa witir dan dua puluh tiga (23) rakaat kalau dihitung dgn solat witr.  Pandangan ini, menurutnya adalah pandangan yang telah dipersetujui oleh Imam Mazhab yang Empat iaitu Mazhab Hanafi, Maliki (yang masyhur), Shafi’e dan Hanbali.  Sebahagian dari ahli mazhab Maliki mngatakan solat tarawih adalah 36 rakaat. Penduduk Madinah di zaman pemerintahan Umar bin Abdul Aziz menunaikan solat tarawih 36 rakaat, tetapi Dr Ali Jumaah menyatakan hal ini berlaku menurut mazhab Shafie disebabkan penduduk Madinah menambah rakaat tersebut sbg ganti kepada tawaf yang dilakukan oleh mereka yang bersolat di masjid haram di Mekah.

Menurut Dr Ali Jumaah lagi, isu solat Tarawih lapan (8) rakaat ini tidak pernah timbul sebelum ini. Ianya hanya timbul di zaman ini iaitu kurun ke 19 dan 20 ini. Punca berlakunya perkara ini menurut beliau adalah salah faham terhadap sunnah nabawiyyah dan ketidakupayaan mereka menghimpun hadith-hadith yang berkaitan perkara ini dan ketidakfahaman mereka utk menghimpunkan antara ijmak (kesepakatan) kata-kata dan perbuatan oleh para sahabat di zaman Rasulullah SAW. Lalu, menurut Dr Ali Jumaah, mereka menggunakan dalil dari hadith Saidatina Aishah r.a. untuk mengatakan bahawa solat tarawih itu lapan (8) rakaat sahaja. Hadith tersebut bermaksud: Rasulullah SAW tidak menambah bilangan rakaat solat Baginda pada bulan Ramadhan juga tidak pada bulan-bulan lain lebih dari sebelas (11) rakaat. Baginda solat empat rakaat (dua salam), jgn kamu tanya tentang eloknya dan panjangnya solat Baginda, kemudian Baginda solat lagi empat rakaat (dua salam), jgn kamu tanya tentang eloknya dan panjangnya solat Baginda. Kemudian Baginda Solat tiga rakaat (solat witir). Aishah r.a. berkata lagi, aku bertanya Rasulullah: Ya Rasulullah, adakah engkau tidur sebelum engkau solat witir (yakni setelah selesai 8 rakaat adakahBaginda tidur dahulu). Baginda menjawab: Ya Aishah, sesungguhnya mataku tidur tetapi hatiku tidak tidur (maksudnya Baginda tidur spt tidur ayam sahaja).

Hadith di atas, menurut Dr Ali Jumaah, adalah berkenaan solat sunat malam (Qiyamullail)  Nabi SAW secara umum dan TIDAK berkaitan dengan solat Tarawih, sbb itu disebut oleh Aishah pada bulan Ramadhan dan bulan-bulan lain.  (Hadith ini juga menjelaskan kepada kita bahawa Rasulullah SAW selain dari bersolat tarawih di bulan Ramadhan, Baginda juga tidak pernah meninggalkan solat tahajjud Baginda sebanyak 8 rakaat seperti yang dinyatakan oleh Saidatina Aishah r.a. dalam hadith di atas. Alangkah hebatnya Rasulullah SAW yang sepatutnya menjadi ikutan dan contoh kepada kita)

Adapun solat tarawih yang dilakukan oleh umat Islam itu, menurut Dr Ali Jumaah, ia adalah khusus di bulan Ramadhan. Ianya adalah sunnah nabawiyyah dari segi asal usulnya iaitu dari Rasulullah SAW dan Umariyyah (kaedah dan cara Saidina Umar r.a.) dari segi perlaksanaannya.  Maksudnya ialah solat tarawih secara berjemaah dan bilangan rakaat solat tarawih itu diasaskan oleh Saidina Umar r.a. sesuai dengan Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: kamu hendaklah mengikut sunnah aku dan sunnah Khulafa’ Rashidin (Khalifah yang Empat), pegang kemas-kemas dengan taring-taring kamu.

Menurut Dr Ali lagi, kalaulah umat Islam tidak mahu mengikut kaedah Saidina Umar r.a. ini, kenapa mereka solat tarawih secara berjemaah di masjid sedangkan Rasulullah SAW tidak melakukan solat tarawih secara berjemaah di zaman Baginda? Apa yang peliknya menurut Dr Ali ialah ummat solat Tarawih berjemaah tetapi mereka solat lapan rakaat sedangkan Rasulullah SAW tidak solat secara berjemaah ketika zaman Baginda?

Dalil yang dibawa oleh Dr Ali Jumaah utk menyatakan bahawa kaedah solat Tarawih ini adalah kaedah Saidina Umar adalah seperti berikut: diriwayatkan dari Abdul Rahman bin Abdul Qari, beliau berkata: aku keluar bersama Saidina Umar pada suatu malam di bulan Ramadhan ke masjid dan kami dapati para jemaah bersolat tarawih bersaorangan di sana sini dalam masjid tersebut, lalu Umar berkata: aku berpendapat adalah lebih baik jamaah ini dikumpulkan dan mereka bersolat tarawih secara berjamaah (berimam).  Lalu beliau memerintahkan Ubai bin Kaab r.a. supaya mengarahkan jamaah bersolat tarawih secara berjemaah. Kami keluar lagi pada malam esoknya dan kami dapati jamaah sedang bersolat secara berjamaah. Lalu Umar berkata: ‘sebaik-baik bida’ah (rekaan) adalah yang ini iaitu solat tarawih secara berjamaah. Namun, kata Umar lagi, barangsiapa yang solat tarawih di akhir malam adalah lebih baik dari yang bersolat tarawih di awal malam (Hadith ini dikeluarkan oleh Bukhari dalam kitab Sahihnya vol. 2, m.s. 707; Imam Baihaqi dalam kitabnya al-Kubra, vol. 2, m.s. 492, Imam Malik dalam kitabnya Muwatta’ vol. 1, m.s. 114).

Jadi, menurut Dr Ali Jumaah, itulah yang dikatakan solat tarawih iaitu 20 rakaat. Ada beberapa hadith yang menjelaskan perkara ini seperti apa yang diriwayatkan oleh al-Saib bin Yazid r.a. katanya: mereka solat tarawih di zaman Umar r.a. 20 rakaat, mereka membaca 200 ayat, dan sebahagian mereka bertongkat semasa sembahyang di zaman Saidin Uthman r.a. kerana terlalu panjangnya solat tersebut (diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam kitabnya al-Kubra, vol. 2, m.s. 496;  Imam Malik dalam kitabnya Muwatta’, vol. 1, m.s. 115).

Seterusnya, Dr Ali Jumaah menambah lagi, kesemua mazhab yang empat juga sepakat mengatakan solat tarawih adalah 20 rakaat. Dr Ali menulis secara terperinci bagi setiap mazhab berkenaan perkara ini, Cuma utk masyarakat di Malaysia, diperturunkan di sini pandangan mazhab Shafie sahaja. Imam Nawawi r.a. menyatakan: mazhab kita (Shafi’e) menegaskan tarawih itu 20 rakaat dengan sepuluh salam tidak termasuk solat witir dan ianya ada lima rehat (satu rehat bagi setiap 4 rakaat) (al-majmu’, Imam Nawawi, vol. 3, m.s. 527).

Menurut Dr Ali Jumaah lagi, Ibn Taimiyyah yang terkenal dengan pandangannya yang rigid berkenaan perkara-perkara bida’ah juga menyatakan bahawa solat tarawih itu 20 rakaat. Kata Dr Ali, Ibn Taimiyyah menulis dalam kitabnya, al-Fatawa al-kubra (Fatwa2 Besar): “ terdapat percanggahan pendapat dlm bilangan solat tarawih di bulan Ramadhan. Nyatalah dari Ubai bin Kaab r.a. bahawa beliau bersolat dengan orang ramai 20 rakaat utk solat tarawih di bulan Ramadhan.  Sebahagian berpendapat bahawa dari hadith Aishah r.a. bahawa Rassulullah SAW tidak pernah menambah solat sunatnya lebih dari 13 rakaat. Ini menyebabkan mereka berpendapat hal ini (solat tarawih 20 rakaat) bercanggah dengan hadith sahih Aishah r.a. tadi, tetapi ternyata ianya (solat tarawih 20 rakaat itu) adalah dari sunnah Khulafa’ Rashidin dan amalan orang Islam. Yang benarnya, semuanya itu adalah baik”.

Dr Ali Jumaah menggulung perbahasan prkara bilangan rakaat solat Tarawih ini dengan rumusan berikut:

1. dari perbahasan di atas, apa yang dilakukan oleh para ulama dan ahli mazhab2 fekah sepanjang zaman samada ulama salaf (terdahulu) dan ulama’ khalaf (terkemudian) di timur dan barat bahawa solat tarawih itu 20 rakaat dan ia adalah sunnah muakkadah (yang ditekankan) dan ia bukan wajib;

2. Barangsiapa yang tidak melakukan solat tarawih maka ia tidak akan mendapat ganjaran yang besar yang telah disediakan oleh Allah kepada hambanya di bulan Ramadhan;

3. Barangsiapa yang membah rakaatnya  dari 20 kepada 36 maka tidaklah menjadi masalah dan barang siapa yang mengurangkannya kepada 8 juga tiada masalah kecuali ia hanya mendapat pahala Qiyamullail (sembahyang malam) dan bukan solat sunat Tarawih yang disebutkan itu.  Wallahu a’lam.

Sekian, semuga sedikit sebanyak isu yang dibincangkan ini dapat memberikan sedikit maklumat kepada kita untuk kita beramal pada bulan yang mulia yang akan tiba tidak lama lagi.

Prof Hassan Basri bin Awang Mat Dahan
AJK Ulama, DPN, IKRAM