Tazkirah Ramadhan - Ramadhan .. Peluang Hidupkan Ruh

Ramadhan ialah tetamu yang mulia, ia adalah bulan rahmat, keampunan, bulan Al Quran, bulan yang di dalamnya ada malam qadar (lailatul qadar) iaitu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Oleh itu seorang muslim hendaklah menyambut bulan yang mulia ini sebagai suatu utusan atau tetamu yang ditentukan Allah s.w.t untuk hambaNya memperoleh berbagai keistimewaan daripadanya.

Dalam hal ganjaran ibadat puasa di bulan yang mulia ini, berdasarkan sebuah hadith qudsi Allah menyatakan: “… ….kecuali puasa kerana ia (puasa) adalah untukKu dan Aku yang akan memberi ganjarannya (balasannya) .” Pengecualian bentuk ganjaran pahala ibadat puasa Ramadhan daripada ketetapan nisbah atau bentuk ganjaran amalan yang lain adalah suatu yang istimewa. Berbanding dengan amalan kebajikan lain, Allah nyatakan bahawa satu amalan kebajikan akan dibalas dengan sepuluh kebajikan.