Catatan Ceramah Malaysia Menuju Negara Rahmah oleh Ustaz Hj Hasanuddin Mohd Yunus, Timbalan Presiden Pertubuhan IKRAM di Dewan Abu Bakar, Pejabat IKRAM Hulu Selangor - 19 April 2015


BUKIT BERUNTUNG - 19-APRIL-2015.  Ahli IKRAM diminta terus fokus menjalankan aktiviti-aktiviti lokal di daerah masing-masing dan juga terus berfikiran global bagi mengharungi lautan perjuangan yang amat luas dan besar ini.


Demikian harapan Timbalan Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia, Ustaz Hj. Hasanuddin Mohd Yunus ketika memulakan interaksi di dalam ceramah bertajuk Malaysia Menuju Negara Rahmah untuk ahli dan sahabat IKRAM di Dewan Abu Bakar, Pejabat IKRAM Hulu Selangor.

Menurut beliau lagi, Pertubuhan IKRAM sentiasa menilai kaedah-kaedah penyampaian dakwahnya dari semasa ke semasa. Bagi menjayakan visi dan misi Pertubuhan IKRAM, ahli IKRAM disaran menyampaikan risalah dakwah dengan salah satu kaedah berpandukan hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari r.a yang bermaksud :“Berbicaralah dengan manusia menurut kadar kemampuan akal mereka ” .