Catatan Ceramah Malaysia Menuju Negara Rahmah oleh Ustaz Hj Hasanuddin Mohd Yunus, Timbalan Presiden Pertubuhan IKRAM di Dewan Abu Bakar, Pejabat IKRAM Hulu Selangor - 19 April 2015


BUKIT BERUNTUNG - 19-APRIL-2015.  Ahli IKRAM diminta terus fokus menjalankan aktiviti-aktiviti lokal di daerah masing-masing dan juga terus berfikiran global bagi mengharungi lautan perjuangan yang amat luas dan besar ini.


Demikian harapan Timbalan Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia, Ustaz Hj. Hasanuddin Mohd Yunus ketika memulakan interaksi di dalam ceramah bertajuk Malaysia Menuju Negara Rahmah untuk ahli dan sahabat IKRAM di Dewan Abu Bakar, Pejabat IKRAM Hulu Selangor.

Menurut beliau lagi, Pertubuhan IKRAM sentiasa menilai kaedah-kaedah penyampaian dakwahnya dari semasa ke semasa. Bagi menjayakan visi dan misi Pertubuhan IKRAM, ahli IKRAM disaran menyampaikan risalah dakwah dengan salah satu kaedah berpandukan hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari r.a yang bermaksud :“Berbicaralah dengan manusia menurut kadar kemampuan akal mereka ” .

Bagi  menjayakan agenda Malaysia Menuju Negara Rahmah ahli IKRAM diminta menghayati firman Allah s.w.t  di dalam Surah Al-Anbiya ayat ke 107 yang bermaksud : “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekelian alam ”

Ahli IKRAM juga diharapkan dapat memahami konsep amal hati dan amal organisasi yang sebenar. Sebagai contoh, mencari redha Allah s.w.t di dalam melaksanakan  sesuatu pekerjaan di dalam organisasi sebaiknya diiringi dengan melakukan kerja secara bersungguh-sungguh demi memberikan yang terbaik bagi menjayakan matlamat organisasi.

Antara peserta yang hadir

Kemelut kejatuhan dunia Arab dan penguasaan Israel telah dirancang sekian lama oleh Pihak Barat. Kemuncaknya telah berlaku Arab Spring menjatuhkan rejim zalim merupakan salah satu natijah dari hikmah perjuangan mereka yang sekian lama merancang dan menyandarkan kebergantungan yang tinggi pada Allah s.w.t. . Ahli IKRAM diharap dapat mengambil teladan daripada peristiwa ini.

Isu perkauman yang kembali mekar di Malaysia  kebelakangan ini merupakan sebuah perangkap yang ditinggalkan oleh pihak penjajah. Oleh itu ahli IKRAM diharap dapat mempergiatkan lagi usaha-usaha tarbiah untuk melahirkan lebih ramai generasi yang soleh dan komited menyebarkan risalah Islam dan berupaya meyakinkan masyarakat bahawa keindahan Islam mampu menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara Rahmah.


“Kita adalah jemaah yang lantainya besar, kita bawa manusia kepada Allah , kita buat perubahan, sebab itu kita kata Rahmatan lil 'Alamin. Kita tidak boleh dilihat sebagai satu pihak nanti risalah kita tidak sampai”. Ujar Ustaz Hasanuddin dengan bersahaja tetapi penuh makna menerangkan pendekatan Pertubuhan IKRAM untuk menjayakan agenda Malaysia Menuju Negara Rahmah.

Ahli IKRAM juga diharap dapat mengenal pasti potensi yang dimiliki oleh mad'u mereka  dengan panduan berikut:-
  1. Orang Islam yang berdakwah di luar IKRAM. Ahli IKRAM perlu menyayangi mereka dan bersama-sama dengan mereka.
  2. Orang Islam yang mengunjungi masjid, menunaikan umrah dan haji tetapi tidak aktif berdakwah. Ahli IKRAM perlu berusaha menggerakkan agar mereka turut sama menyumbang harta mereka untuk membantu umat Islam.
  3. Orang Islam yang melakukan maksiat. Ahli IKRAM perlu berdakwah kepada mereka agar mereka berhenti dan seterusnya menjauhi maksiat.
  4. Orang bukan Islam yang mengikat perjanjian dengan Islam. Ahli IKRAM perlu menepati  janji.
  5. Orang bukan Islam yang neutral. Ahli IKRAM perlu menyantuni mereka melalui Hidayah Center.
  6. Orang bukan Islam yang memusuhi Islam. Ahli IKRAM perlu membuka gelanggang untuk mendengar luahan dan keperluan mereka dengan memberi penjelasan merujuk kepada perlembagaan Malaysia supaya mereka tidak memusuhi Islam.
Salah satu elemen  yang perlu ada sebelum dapat merealisasikan Negara Rahmah ialah prinsip keadilan seperti firman Allah s.w.t di dalam Surah Al-Maidah ayat ke 8 yang bermaksud: “Wahai orang-orang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatau kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil kepada sesiapa jua kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah maha mengetahui dengan mendalam apa yang kamu lakukan -”

Umat Islam adalah duta kepada Islam. Oleh itu perlu bersikap adil, perlu sensitif dan melibatkan diri dengan masyarakat. Perlakuan umat Islam  yang  tidak  menuruti neraca keadilan yang digariskan ayat di atas akan menyebabkan Islam dipinggirkan oleh bukan Islam.

Ahli IKRAM diseru agar melakukan amal yang tinggi darjatnya menurut firman Allah s.w.t di dalam Surah Al-Balad  ayat ke 12 hingga 16 berikut :


Dan seterusnya menjauhi sifat orang yang mendustakan agama seperti firman Allah s.w.t di dalam keseluruhan surah Al-Maun berikut :


Antara elemen lain di dalam menjayakan agenda Negara Rahmah yang digariskan oleh Ustaz Hasanuddin adalah :
  • Mengajak manusia untuk berfikir dan memerdekakan  diri dari perhambaan sesama manusia. 
  • Mengeluarkan  orang bukan Islam dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam .
  • Mengeluarkan manusia  dari kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat
Akhirnya, adalah diharapkan ceramah Malaysia Menuju Negara Rahmah yang disampaikan oleh Ustaz Hasanuddin  dapat meningkatkan lagi kefahaman dan komitmen ahli IKRAM Hulu Selangor untuk menjayakan visi dan misi Pertubuhan IKRAM. InsyaAllah.


  Penyampaian cenderahati tanda penghargaan  oleh IR Haji Ariffin, Timbalan YDP IKRAM Hulu Selangor
 kepada Ustaz Hj. Hasanuddin, Timbalan Presiden Pertubuhan IKRAM

Ahli Ikram Hulu Selangor mengambil kesempatan bergambar bersama
 Ustaz Hj Hasanuddin, Timbalan Presiden Pertubuhan IKRAM