Qiam Bulanan Belia



Pada hari Selasa, 21 Jun 2016 telah diadakan qiam bulanan Belia IKRAM Hulu Selangor. Program bermula seawal 6 petang dengan aktiviti suai kenal dan majlis berbuka puasa. Kemudian diiringi solat Isyak seterusnya taraweh berjemaah.

Belia diisi dengan perkongsian bersama Board of Trustee (BOT) MyCare En. A. Khalil Bin Khamis dan isterinya Puan Mas Ahmah Jonid mengenai pengalaman mereka terlibat didalam misi kemanusiaan di bumi Gaza.

Semoga kita akan berjumpa lagi di dalam siri siri qiam bulanan belia pada masa akan datang. Jzkk kepada yang telah hadir! Gambar di sini.

Remaja Rai Ramadhan (3R) IKRAMTeens Hulu Selangor


Pada 18-19 Jun 2016, Sabtu dan Ahad yang lalu, IKRAMTeens Hulu Selangor telah menganjurkan Program 3R (Remaja Raikan Ramadhan) bertempat di Kem Rimba Tamu, Batang Kali. Program ini disertai oleh 80 orang remaja berusia 13-17 tahun di sekitar Hulu Selangor.

Tujuan 3R ini diadakan adalah untuk mengajak para remaja menghayati bulan Ramadhan sebagai bulan pesta amal, mempertingkatkan semangat memberi manfaat (membuat amal kebajikan) kepada orang lain dan meningkatkan motivasi remaja dalam perjuangan di bulan Ramadhan.


Semoga adik adik akan terus bersemangat meneruskan perjuangan Ramadhan yang masih berbaki dan terus menjadi manusia bermanfaat kepada semua. Gambar di sini.

Adakah Nasib Terbela Jika Bangsa Sendiri Memerintah? Pengajaran Dari Pengalaman Negara Mesir

Kita sering mendengar ungkapan bahawa nasib bangsa Melayu akan pasti terbela jika bangsa Melayu terus memerintah. Oleh itu ramai yang merasakan fokus utama usaha politik ialah memastikan bahawa bangsa Melayu terus memerintah negara kita. Bagi mereka sama ada yang memerintah itu beramal dengan prinsip keadilan, tidak korup dan tidak menyalahguna kuasa bukan isu yang penting.

Persoalan yang timbul ialah, adakah benar apabila bangsa sendiri memerintah maka keadilan, kebebasan dan kesejahteraan akan pasti terjamin untuk semua anak bangsa?

Mungkin ada baiknya kita melihat pengalaman sebuah negara Islam yang besar di Timur Tengah iaitu Mesir. Negara ini mempunyai sejarah yang cukup lama, iaitu semenjak zaman Firaun lagi. Ia juga telah mengalami beberapa episod pergolakan politik. Namun sepanjang sejarah moden negara tersebut khasnya setelah merdeka pada tahun 1919, ianya telah diperintah pemerintah yang berbangsa Mesir dan beragama Islam. Walaupun wujud golongan beragama Kristian di Mesir, namun jumlahnya adalah kecil iaitu sebanyak 10 peratus sahaja. Institusi yang paling berpengaruh di Mesir semuanya berkait dengan agama Islam seperti pejabat Mufti Mesir serta Sheikhul Azhar dari Universiti Al Azhar, sebuah institusi pendidikan Islam terkemuka di dunia.

Mesir berubah dari sistem beraja kepada sistem republik pada tahun 1953 apabila Raja Farouk digulingkan dan kuasa jatuh ke tangan Presiden Muhammad Najib. Beliau digantikan oleh Jeneral Jamal Abdul Naser pada tahun 1956 yang memerintah sehingga 1970. Presiden Naser tidak menghormati hak asasi manusia dan sangat keras terhadap sesiapa yang menentang pemerintahan beliau, terutama dari kalangan golongan Islamis. Antara yang terbunuh semasa pemerintahan beliau ialah Sayyid Qutb, seorang pemikir dan penulis Islam yang mashur, yang digantung pada tahun 1966. Ramai lagi yang siksa dan dipenjarakan.

Apabila Jamal Naser meninggal dunia pada tahun 1970, beliau diganti oleh Anwar Saddat, bekas pegawai tentera yang juga merupakan rakan rapat Naser. Beliau juga tidak menghormati proses demokrasi dan meneruskan sikap keras terhadap pihak pembangkang dengan menyiksa dan memenjarakan mereka. Semasa pemerintahan beliau, keadaan ekonomi Mesir menjadi tenat dan subsidi makanan terpaksa dipotong. Akibatnya ramai rakyat yang sengsara dan kelaparan. Ini mengakibatkan beberapa `rusuhan makanan’ berlaku. Saddat mengambil keputusan berusaha mendapatkan bantuan negara Barat dan dengan itu telah memulakan langkah perdamaian dengan Israel, walaupun rakyat Mesir rata-rata tidak bersetuju. Pada tahun 1979, Saddat telah memeterai perjanjian damai dengan Israel. Walaupun beberapa negara Eropah dan Amerika terus memberi bantuan ekonomi kepada Mesir susulan dari perjanjian damai tersebut, namun kemarahan rakyat terhadap keputusan Saddat tersebut telah mengakibatkan beliau dibunuh oleh golongan ekstrimis pada tahun 1981.

Negara Mesir kemudian diperintah oleh Presiden Hosni Mubarak, juga seorang bekas pegawai tentera yang tidak menghormati proses demokrasi. Beliau telah melaksanakan Undang-undang Darurat (State of Emergency) dan menghadkan aktiviti politik serta menyekat kebebasan bersuara dan hak untuk berkumpul (right of assembly). Keadaan di negara Mesir bertambah teruk dan ramai rakyat hidup dalam keadaan yang sengsara. Akibat dari ketidakpuasan yang meluas di kalangan rakyat, Hosni Mubarak telah digulingkan dalam satu revolusi rakyat pada tahun 2011.

Mesir kemudian telah mengadakan proses pemilihan presiden yang paling demokratik dalam sejarahnya di mana rakyat telah dengan bebas memilih Muhammad Morsi dari parti FJP untuk menjadi presidennya. Malangnya selepas hanya satu tahun, Morsi telah digulingkan oleh tentera Mesir di bawah pimpinan General Al Sisi dan telah dipenjarakan. Turut dipenjarakan ialah ratusan penyokong beliau dari gerakan dakwah Ikhwan Muslimun. Orang awam yang lain juga telah dibunuh dan disiksa dan oleh itu ramai yang telah lari ke luar negara termasuk ke negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat.

Sekarang ini keadaan di Mesir dari aspek hak asasi manusia adalah sangat teruk di mana hak bersuara dan berpolitik adalah sangat terhad. Golongan Islamis, terutama dari kumpulan Ikhwanul Muslimin diburu, dipenjarakan, disiksa dan ada yang dibunuh. Mesir sekarang adalah di bawah pemerintahan rejim ketenteraan yang paling zalim dalam sejarahnya. Rakyat menjadi semakin sengsara kerana tidak dapat berbuat apa-apa.

Sementara itu, ekonomi Mesir pada masa ini juga semakin tenat. Menurut satu laporan, 26 peratus dari rakyat Mesir adalah dalam kategori miskin. Kadar pengangguran juga adalah tinggi iaitu 13.2 peratus sementara di kalangan wanita pula ialah 24.2 peratus. Sementara kadar literasi pada tahun 2015 dari kalangan lelaki ialah hanya 82.2% dan wanita 65.4% iaitu jauh lebih rendah berbanding Malaysia (lelaki 96.2% dan wanita 93.2%). Kejatuhan harga minyak antarabangsa membuat keadaan bertambah teruk. Ini kerana 40 peratus dari jumlah ekspot Mesir adalah dari sektor tenaga termasuk gas asli. Di samping itu jumlah pelaburan asing juga jatuh mendadak kerana semenjak dari 1990an lagi dua pertiga darinya adalah dalam sektor tenaga yang telah menguncup. Masalah ekonomi yang dihadapi oleh negara-negara Eropah yang merupakan destinasi utama ekspot Mesir juga memberi kesan negatif kepada ekonomi Mesir. Ekonomi China yang merudum turut memberi kesan teruk kepada pendapatannya dari Terusan Suez yang merupakan laluan utama perdagangan antara benua Asia dan Eropah. Kesemua faktor tersebut telah mengakibatkan tekanan ke atas nilai matawangnya dan akibat dari itu jumlah rezab antarabangsanya pada tahun 2014 telah menurun menjadi hanya 29 peratus berbanding tahun 2010.

Jelaslah dari fakta di atas bahawa walaupun negara Mesir telah sekian lama diperintah oleh pemimpin yang beragama Islam, namun nasib rakyatnya sungguh malang dan tidak terbela. Bukan sahaja jutaan telah dianiaya dan dizalimi bahkan keadaan kesejahteraan rakyat juga sangat rendah. Akibat dari kemelut sosial, politik dan ekonomi yang dihadapinya, ramai rakyat Mesir terutama dari golongan yang cerdik dan berpendidikan mencari pekerjaan di luar negara termasuk di Eropah dan Amerika Syarikat walaupun negara tersebut diperintah oleh pemimpin yang bukan Islam.

Pengajaran utama yang boleh diperolehi dari apa yang sedang berlaku di Mesir ialah kebajikan rakyat tidak akan terjamin hanya dengan kriteria negara mesti diperintah oleh bangsa sendiri yang beragama Islam. Rakyat juga perlu memastikan pemerintah Islam itu menghayati ajaran sebenar agama Islam iaitu di antara lain ialah menghormati proses syura (iaitu demokrasi), beramal dengan kaedah kebertanggungjawaban (accountability), memerintah dengan adil dan saksama, tidak korup serta bersikap telus dan amanah. Hanya apabila negara diperintah oleh pemerintah yang bercirikan kriteria di atas, maka inshaAllah rakyat akan dapat mengecapi kebajikan dan kesejahteraan yang sebenar, sesuai dengan ungkapan di dalam Al Quraan…BALDATUN THAYYIBATUN WA RABBUN GHAFUR.

Prof.Dr. Mohd Nazari Ismail, Ketua Biro Penyelidikan IKRAM.

Gejala Rasuah di Kalangan Pemimpin dan Kesannya - Pengajaran Dari Pengalaman Negara Pakistan

Di Malaysia, kita sering dimomokkan bahawa nasib bangsa Melayu akan hanya terbela jika bangsa Melayu sahaja yang kekal memerintah. Oleh itu, majoriti yang berbangsa Melayu merasakan fokus utama dalam usaha politik ialah memastikan bangsa lain tidak akan memerintah negara kita. Mereka rela menerima pemerintah yang korup,beramal dengan rasuah, tidak adil, tidak mengormati proses demokrasi dan menyalahguna kuasa, asalkan pemerintah tersebut adalah dari kalangan orang Melayu Islam semata-mata. 

Persoalan yang timbul ialah adakah benar apabila bangsa sendiri memerintah maka keadilan, kebebasan dan kesejahteraan akan pasti terjamin untuk semua anak bangsa? 

Mari kita menelusuri pengalaman sebuah negara Islam yang besar di Asia iaitu Pakistan. Negara ini tidak pernah diperintah oleh pemimpin berbangsa lain kecuali bangsa Pakistan semenjak mendapat kemerdekaan dari India pada tahun 1947.

Salah satu aspek sejarah Pakistan yang penting ialah wujudnya sistem birokrasi kerajaan yang besar. Ini sebenarnya bukan dari tradisi Islam, namun ia adalah sesuatu yang diwarisi dari pemerintahan British di India. Sistem ini amat senang disalahgunakan oleh mereka yang berkuasa jika mereka tidak mempunyai nilai hidup yang betul. Walau bagaimanapun sistem birokrasi ini tidak menimbulkan masalah di negara Britain sendiri kerana nilai amanah dan telus dihargai dan ditekankan oleh masyarakatnya. Malangnya, nilai ini tidak kuat di kalangan masyarakat Pakistan walaupun rakyat dan pemimpin beragama Islam dan negara itu mengisytiharkan dirinya sebagai Republik Islam pada tahun 1956.

Satu dari kesan negatif yang timbul akibat kurangnya nilai amanah ini ialah amalan rasuah dan salahguna kuasa yang berleluasa di kalangan elit yang memerintah di Pakistan. Seawal tahun 1960an lagi, apabila General Ayub Khan menjadi Presiden, pihak Bank Dunia telah melaporkan bahawa birokrasi kerajaan Pakistan mengalami masalah rasuah yang sangat teruk. Akibatnya ekonomi Pakistan menurun walaupun negara mempunyai banyak hasil mahsul dan penduduk yang ramai.

Salahguna kuasa di pihak golongan pemerintah Pakistan yang dikuasai oleh golongan Punjabi di Pakistan Barat telah mengakibatkan rasa tidak puas hati yang meluas di kalangan rakyat yang tinggal di Pakistan Timur. Ini mencetuskan peperangan sivil pada tahun 1971 yang berakhir dengan terpisahnya Pakistan Timur yang kemudian dinamakan Bangladesh.

Pada tahun 1973, Zulfiqar Ali Bhutto dari Pakistan Peoples Party (PPP) telah menjadi Perdana Menteri Pakistan. Beliau berusaha untuk merangsangkan ekonomi Pakistan dengan program nasionalisasi . Malangnya, oleh kerana nilai amanah tidak wujud di kalangan ahli pentadbiran beliau, maka program ini telah memberi peluang kepada golongan elit untuk menyalahguna kuasa dan membuat amalan rasuah menjadi lebih teruk lagi. Usaha nasionalisasi Bhutto mengalami kerugian yang teruk kerana ahli parti PPP menyalahguna kuasa mereka untuk merebut peluang mentadbir badan-badan awam untuk memperkayakan diri sendiri, keluarga atau kawan-kawan mereka di samping menguatkan kedudukan politik mereka.

Pada tahun 1977 susulan dari tuduhan penyalahgunaan kuasa oleh PPP di dalam proses pilihanraya, beberapa rusuhan ganas telah berlaku. Ini memberi peluang kepada tentera untuk mengambil alih kuasa di bawah pimpinan General Muhammad Zia-ul-Haq yang menjadi presiden pada tahun 1978.
Presiden Zia melaksanakan polisi merungkaikan balik polisi nasionalisasi Bhutto dan melaksanakan sistem perundangan berdasarkan Islam untuk mendapat sokongan pihak Islamis. Namun oleh kerana nilai amanah masih tidak wujud, maka masalah rasuah masih lagi berleluasa. Di samping itu, hak berpolitik rakyat terhad kerana Presiden Zia telah melaksanakan undang-undang tentera.
Pada tahun 1986, Benazzir Bhutto, anak kepada Zulfiqar Ali Bhutto (yang telah dihukum gantung pada tahun 1979) telah pulang ke Pakistan dan mengetuai PPP. Mereka meminta diadakan semula pilihanraya umum dan telah memenanginya pada tahun 1988. 

Namun kerajaan di bawah kepimpinan beliau masih lagi tidak dapat melepaskan diri dari penyakit rasuah. Akibatnya beliau telah dilucutkan dari jawatan pada tahun 1990 dan digantikan oleh Nawaz Shariff. Namun Nawaz Sharif juga tidak terlepas dari tuduhan penyalahgunaan kuasa dan rasuah walaupun mendapat sokongan sebahagian rakyat kerana melaksanakan undang-undang Shariah. Akibatnya Bhutto memenangi pilihanraya sekali lagi pada tahun 1993. Namun sekali lagi reputasi penyalahgunaan kuasa dan rasuah oleh beliau dan suami beliau Asif Zardari menjadi buah mulut rakyat dan beliau dilucutkan jawatan oleh Presiden Leghari pada tahun 1996 dan digantikan oleh Nawaz Sharif yang memenangi pilihanraya yang diadakan pada tahun itu.

Sementara itu ekonomi Pakistan menjadi bertambah teruk dan Pakistan telah menghadapi masalah pengangguran dan hutang kerajaan yang tinggi. Ini membuat keadaan politik negara menjadi tegang dan tidak stabil. Akibatnya beliau telah digulingkan oleh tentera yang dipimpin oleh General Pervez Musharraf pada tahun 1999. Di bawah pentadbiran beliau yang memegang jawatan Presiden dan juga ketua tentera, had berpolitik rakyat Pakistan telah dihadkan. Oleh itu, masalah rasuah dan penyalahgunaan kuasa juga berterusan . Situasi ini telah menyumbang kepada suasana tidak stabil di dalam negara dan kewujudan kumpulan pelampau yang cenderung kepada keganasan. Akibatnya kerajaan terpaksa bertindak ganas juga. Satu contoh ialah serangan tentera ke atas Masjid Merah yang telah dikuasai pihak pelampau pada bulan Julai 2007 yang mengakibatkan puluhan nyawa terkorban.

Kebergantungan Pakistan kepada bantuan kewangan dari Amerika juga membuat Pakistan sering menurut perintah Amerika dalam polisi pentadbirannya dan ini membuat ramai pihak membenci kerajaan. Ada yang sanggup melakukan tindakan melampau dan ganas. Insiden pengeboman berlaku di sana sini dan salah satu darinya telah mengorbankan Benazir Bhutto semasa beliau sedang berkempen untuk pilihanraya pada tahun 2007.

Pada tahun 2008, Yusuf Raza Gillani yang mengetuai PPP telah menjadi Perdana Menteri dan Asif Zardari, suami Benazir menjadi presiden. Di bawah pentadbiran mereka berdua, suasana rasuah bertambah teruk dan akibatnya keadaan kewangan kerajaan Pakistan terus merosot. Pakistan terpaksa meminjam wang berjumlah berbillion dolar Amerika dari International Monetary Fund (IMF) untuk mengatasi masalah hutang luarnya. Ini telah membuatkan negara tersebut semakin tunduk kepada Amerika Syarikat dan pada masa yang sama membuatkan golongan pelampau seperti Taliban semakin marah kepada kerajaan sehingga sanggup mengebom masjid-masjid kerajaan dan membunuh orang awam.

Usaha Gillani untuk melindungi Zardari dari dipenjarakan atas dasar rasuah telah mengakibatkan beliau sendiri telah diisytiharkan tidak layak memegang jawatan Perdana Menteri pada bulan Jun 2012 oleh Mahkamah Agung Pakistan dan digantikan oleh Raja Pervez Ashraf. Namun Raja Pervez Ashraf juga dituduh beramal dengan rasuah. Pada bulan Januari 2013, Mahkamah Agung Pakistan telah mengarahkan Raja Pervez Ashraf didakwa atas tuduhan melakukan rasuah semenjak tahun 2010. Beliau kemudiannya telah digantikan oleh Nawaz Sharif yang memegang jawatan tersebut sehingga ke hari ini.

Sehingga kini Pakistan masih terus dihantui oleh masalah suasana politik yang tidak stabil serta keganasan yang melibatkan pembunuhan ramai rakyat awam akibat dari hilangnya kepercayaan rakyat kepada pemimpin yang begitu gemar dengan amalan rasuah.

Pada tahun 2012, Transparency International (TI) menganggarkan Pakistan telah kerugian lebih dari Rs 8.5 trillion ( 94 billion dollar Amerika) akibat dari rasuah, dan pengelakan cukai dalam tempoh hanya lima tahun iaitu di antara tahun 2008 hingga 2013. 

Amalan rasuah dan pengelakan cukai ini juga mengakibatkan keadaan kewangan kerajaan semakin merosot. Nawaz Sharif terpaksa meminjam 6.6 billion dolar Amerika dari International Monetary Fund pada tahun 2013 untuk mengelakan negara terjebak dalam krisis hutang. Satu laporan pada tahun 2015 oleh Dr. Hafiz Pasha, pakar ekonomi Pakistan dan juga bekas menteri kewangannya, menyatakan bahawa hutang luar kerajaan Pakistan dijangka meningkat menjadi 90 bilion dolar dalam jangka masa empat tahun dan kerajaan memerlukan pendapatan sebanyak 20 bilion dolar setahun untuk membayar hutang luar.

Terkini, satu laporan dari Bloomberg menyatakan bahawa Pakistan mungkin akan mengalami masalah membayar hutangnya yang akan matang pada tahun 2016 berjumlah 45 bilion dolar Amerika atau 40 peratus dari jumlah hutang belum berbayarnya. Jika ini berlaku, matawang Pakistan mungkin akan terjejas sekali gus memberikan kesan negatif kepada ekonomi Pakistan.

Oleh itu satu pengajaran utama dari sejarah Pakistan ialah adalah tidak cukup bagi sesebuah negara itu diperintah atau dipimpin oleh bangsanya sendiri walaupun pemimpin bangsa itu beragama Islam. Pemimpin dan juga rakyat hendaklah beramal dengan ajaran Islam yang sebenarnya. Pemimpin mesti mentadbir dengan amanah dan telus dan tidak beramal dengan rasuah manakala rakyat hendaklah jangan mudah dibeli oleh pemimpin yang korup.

Semoga rakyat negara kita bijak dalam memilih pemimpin agar negara akan bertambah aman dan kebajikan rakyat terpelihara sesuai dengan ungkapan di dalam Al Quraan – BALDATUN THAYYIBATUN WARABBUN GHAFUR.

Prof. Nazari Ismail, Ketua Biro Penyelidikan IKRAM.


IKRAM JUNIOR "Ramadhan Is Here!"


Ahad - Telah berlangsung program IKRAM JUNIOR pada kali ini dengan membawa tajuk "Ramadhan Is Here!". 

Program yang disertai seramai 60 peserta terdiri daripada adik adik berumur 5 hingga 12 tahun ini dimulakan dengan slot "The Battle of Badr" yang bercerita tentang perang Badr yang berlaku pada bulan Ramadhan. Program diteruskan dengan Ramadhan Craft dimana adik adik diajar tentang cara cara untuk membuat sendiri jadual "Ramadhan Chart" dan juga Tabung Amal untuk kegunaan mereka sepanjang bulan Ramadhan ini.

Program juga turut diisi dengan Solat Dhuha dan sesi bertukar hadiah antara adik adik yang hadir. Diharapkan program ini dapat memberi manfaat kepada adik adik disamping dalam mengisi baki cuti sekolah didalam Bulan Ramadhan ini.


Selamat kembali kesekolah adik adik! Ramadhan Kareem untuk semua. Gambar di sini.