Sunday, 1 July 2018

Majlis Ramah Mesra Aidilfitri IKRAM Hulu Selangor 2018









Pada 30 Jun yang lalu, telah berlangsung Majlis Ramah Mesra Aidilfitri IKRAM Hulu Selangor yang bertempat di Pejabat IKRAM Hulu Selangor di Jalan Adenium, Bukit Beruntung. Antara acara yang berlangsung adalah ucapan YDP, Dr Muhammad Azhar Zailani, acara penyampaian hadiah kecemerlangan, acara persembahan nasyid diiringi percussion oleh Belia Hulu Selangor dan pemberian sumbangan duit raya kepada anak-anak. Plakad 'We Support Right To A Just Future For Palestine' juga banyak  diangkat sebagai tanda sokongan di kala kegembiraan berhari raya. Semoga pertemuan dapat mengeratkan ukhuwah sesama kita insyaAllah. Foto-foto sepanjang majlis boleh dirujuk di pautan ini.

Ukhuwah Teras Kegemilangan.

Monday, 11 June 2018

Selangor Beriktikaf 2018






Sabtu , 9 Jun 2018- Telah berlangsung program #selangorberiktikaf peringkat kawasan Hulu Selangor yang bertempat di Masjid At-Taufiqiah Felda Soeharto . Program tahunan yang dijenamakan semula telah dihadiri oleh ahli IKRAM Hulu Selangor serta jemaah masjid dan penduduk Felda Soeharto.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah Perkongsian Misi Flotila ke Gaza 2018 oleh Prof Dr Mohd Nazari Ismail , peserta misi yang baru pulang dari misi ini. Aktiviti tadarus dan memahami juzuk 24, sumbangan kepada anak yatim, dan qiamullail dan sahur bersama turut dijalankan. Jazakumullahu khairan kasira kepada seluruh AJK pelaksana dan AJK masjid atas menerima kehadiran kami di sana. Semoga ia menjadi amal disisi Allah insyaAllah.

Ukhuwah Teras Kegemilangan

Sunday, 27 May 2018

Iftar Jamaie IKRAM Hulu Selangor 2018




Pada 26 Mei yang lalu, telah berlangsung Iftar Jamaie IKRAM Hulu Selangor bersama keluarga dan sahabat ahli IKRAM HS yang bertempat di Pejabat IKRAM Hulu Selangor (PIHUSEL). Program dimulakan dengan tazkirah Ramadhan oleh YDP diikuti berbuka secara ringan, solat Maghrib, dan berbuka secara berat. Solat Isya dan Tarawih telah diimamkan oleh pelajar Darul Quran dan sesi taaruf juga dijalankan. Semoga kita berkesempatan untuk bertemu pada Ramadhan tahun hadapan insyaAllah.

Ukhuwah Teras Kegemilangan.


Monday, 9 April 2018

Majlis Sumbangan Asnaf




Pada 8 April yang lalu, telah berlangsung Majlis Sumbangan Asnaf kepada penerima Asnaf Zakat di kawasan Bandar Country Homes. Seramai 70 orang penerima yang diraikan dalam majlis ini. Penyampaian subangan disempurnakan oleh Ust Dr Muhammad Azhar Zailani, YDP IKRAM Hulu Selangor. Kami dari IKRAM Hulu Selangor mengucapkan tahniah kepada semua Jawatankuasa Rabtul Am IKRAM Hulu Selangor yang berkerja kuat. InsyaAllah.

Monday, 12 March 2018

YouthGet2Gether Belia IKRAM Hulu Selangor




Pada 10 & 11 Mac 2018, IKRAM Hulu Selangor telah mengadakan program YouthGet2Gether bertempat di Bukit Fraser, Pahang. Program ini melibatkan para aktivis daripada JK Pemuda IKRAM Hulu Selangor yang terdiri daripada aktivis Belia, Remaja, dan IPT. Seramai 30 orang pemuda pemudi IKRAM HS telah berjaya dikumpulkan bagi menggerakkan JK Pemuda yang baru ditubuhkan. Himpunan kali ini bertujuan untuk merapatkan ukhuwwah & menyusun gerak kerja JK Pemuda agar lebih tersusun dan kemas.

Suka kami kongsikan petikan ini “Sesungguhnya sesuatu fikrah itu hanya boleh berjaya bila mana terdapat pengikut-pengikut yang yakin penuh dengan ajarannya, yang benar-benar ikhlas dalam usaha menegakkannya, yang mempunyai semangat yang berkobar untuk mempertahankan kewujudannya, dan di samping itu ada kesediaan yang mendorong mereka ke arah berkorban serta terus bertindak menjayakannya. Keempat-empat rukun tersebut; keimanan, keikhlasan, semangat dan amal (bergerak) adalah merupakan ciri-ciri utama pemuda.” Petikan dari [Imam Hassan al-Banna r.h. dalam Ila Syabab Wa Ila Tholabah Khossah (Khusus Kepada Pemuda Dan Penuntut Ilmu) Majmu’ah Rasail, m/s 91].

Semoga penyusunan yang baru ini merancakkan gerak kerja dakwah di Selangor khususnya di kawasan Hulu Selangor. Ukhuwah Teras Kegemilangan.

Sunday, 4 March 2018

Karnival PIBG SRA Kg Hulu Bernam #BaktiBeliav4




Sabtu (3 Mac 2018) Telah berlangsung Karnival PIBG anjuran SRA Kg Hulu Bernam dengan kerjasama JK Belia IKRAM kawasan Hulu Selangor bertempat di SRA Hulu Bernam. Selain mesyuarat PIBG dan anugerah pencapaian cemerlang murid, juga diadakan Forum Keibubapaan oleh Saudara Bazli UNIC selari dengan Motivasi Smart Belajar oleh Tuan Sidiq.

Karnival PIBG ini juga dimeriahkan dengan Bengkel Penjagaan Wajah & Asas Make Up dan coffee scrub untuk wanita. Karnival ini diakhiri dengan jualan bazaar rahmah kepada ibu bapa yang hadir. Belia IKRAM Hulu Selangor ingin merakamkan penghargaan kepada Tuan Hj Mohd Amran B. Sakir atas sumbangan dan sokongan yang telah diberikan. Juga kepada pihak sekolah yang memberi peluang untuk #BaktiBeliav4 ini diadakan.

Terima kasih juga kepada semua penyumbang. Semoga kita bertemu lagi dalam siri Bakti Belia akan datang inshaaallah.

Sunday, 21 January 2018

Kejohanan Futsal & Bola Jaring Remaja Piala YDP IKRAM Hulu Selangor





Bukit Beruntung, Sabtu- Pada 20 Januari 2018 yang lepas, telah berlangsung Kejohanan  Futsal dan Bola Jaring Remaja Piala YDP IKRAM Hulu Selangor. Kejohanan ini bertempat di Padang Futsal Taman Bunga Raya.

Kejohanan ini bermula pada jam 8 pagi dan berakhir pada jam 3 petang ini telah mendapat sambutan yang sangat baik dari remaja- remaja di sekitar kawasan Hulu Selangor.

Seramai 141 orang remaja yang membentuk 13 kumpulan untuk Futsal dan 5 kumpulan untuk Bola Jaring menyertai kejohanan ini.

Kejohanan ini dirasmikan oleh En Hj Mohd Amran bin Sakir , ahli Majlis Daerah Hulu Selangor dan acara penyampaian hadiah dan penutup disampaikan oleh Ustaz Dr Mohd Azhar Zailani, YDP IKRAM Hulu Selangor.

Kejohanan ini adalah kali pertama yang diadakan oleh IKRAMTeens Hulu Selangor yang bertujuan untuk memberi peluang kepada remaja untuk sihat tubuh badan dan menpunyai semangat dalam pertandingan. Disamping itu, dapat mengeratkan silaturrahim sesama pemain.


Monday, 1 January 2018

Solat Hajat dan Qiamullail Perdana 2017




Ahad, 31 Disember 2017- Telah berlangsung Solat Hajat dan Qiamullail Perdana 2017 anjuran IKRAM Hulu Selangor dengan kerjasama Surau An Nur, Flat Seri Cempaka Bukit Sentosa.

Program bermula dengan solat Maghrib, diikuti dengan Kuliah Maghrib yang bertajuk BDS : Sumbangan kita kepada perjuangan Palestin oleh Prof Dr Nazari Ismail, Pengerusi Boycott Divestment & Sanctions Malaysia - BDS Malaysia. Seterusnya, Solat Hajat diadakan dimamkan YDP IKRAM Hulu Selangor, Ustaz Dr Muhammad Azhar Zailani.

Pada 1Januari 2018, peserta seterusnya mendirikan Qiamullail berjemaah bagi lelaki di Surau dan bagi wanita di Pejabat Ikram Hulu Selangor, Bukit Beruntung. Selepas solat Subuh, program diterusnya dengan kuliah Subuh yang bertajuk Negara Rahmah Harapan Ummah yang disampaikan oleh YDP IKRAM Hulu Selangor, Ustaz Dr Muhammad Azhar Zailani.

Solat Hajat dan Qiamullail Perdana 2017 ini berlangsung serentak dengan semua kawasan Pertubuhan IKRAM Malaysia di negeri lain. 

Sunday, 31 December 2017

Gempur Remaja Kental 2017 (GEMPAK)








Alhamdulillah telah selesai program GEMPAK 2017 IKRAMTeens HS pada tahun ini. GEMPAK yang merupakan singkatan kepada Gempur Remaja Kental ini merupakan program tahunan IKRAMTeens HS yang menekankan kekuatan rohani yang seiring dengan kekuatan jasmani. Remaja kental adalah remaja yang dapat menahan godaan dan ujian zaman remaja dengan jayanya. Dan menjadi remaja kental memerlukan banyak persediaan. Pada kali ini, GEMPAK telah berlangsung di Asia Camp, Kuala Kubu Bharu.

GEMPAK 17 ini merupakan wadah bagi remaja untuk membina jati diri dan kemahiran hakiki seorang remaja mukmin. GEMPAK kali ini telah disertai oleh 94 orang remaja dari seluruh kawasan Hulu Selangor.

Sepanjang kem ini, peserta didedahkan dengan kepentingan solat di awal waktu, kelebihan bacaan ma'thurat, sunat dhuha dan lain lain selain aktiviti-aktiviti lasak yang bersama sama fasilitator kem.

Selain dari itu, peserta juga terinsipirasi dengan kisah Sultan Muhammad AlFateh yang menaiki takhta pada usia seawal 19 tahun seterusnya menawan Kota Konstantinopel pada usia 21 tahun.

Perasmian penutup telah disempurnakan oleh Ahli Majlis Daerah Hulu Selangor, Tuan Hj Mohd Amran Sakir. Pada penghujung kem, peserta telah menulis segala resolusi dan azam masing masing untuk dilaksanakan saat melangkah keluar dari kem ini. Sama sama kita doakan semoga ia menjadi titik tolak ke arah satu perubahan yang lebih baik Inshaallah.

Tuesday, 26 December 2017

Jaulah Tarbawiyyah IKRAM Hulu Selangor ke Thailand


Jaulah Tarbawiyyah IKRAM Hulu Selangor ke Thailand telah berlangsung dengan jayanya pada 21-24 Disember 2017 dengan membawa 39 orang ahlinya dengan matlamat jaulah untuk melihat bagaimana keadaan umat Islam di sana.

Menurut pihak penganjur, selain melihat kehidupan mereka, sejarah serta daya juang untuk kekal mengamalkan cara hidup Muslim, jaulah ini juga bertujuan menjalinkan hubungan, ukhuwah dan kerjasama.

“Antara tempat yang dilawati adalah Masjid Padang Besar, Ahmadiah Foundation School Phatthalung, Samila Beach, Makam Sultan Sulaiman Shah, Yayasan Sultan Sulaiman, Kubu Pertahanan, menelusuri Sejarah Islam di Singgora, Floating Market dan Masjid Negeri Songkhla.”

Jaulah ini dikira amat istimewa bagi warga Ahmadiah Foundation School selepas pengasasnya Dr Ahmad Ehsan mendapat pengiktirafan sebagai Qadhi (Ketua Agama Islam) di wilayah Phattalung baru-baru ini, yang menyifatkan kunjungan ini sebagai kunjungan ucapan tahniah yang pertama dari luar negara.

Menjadi antara sekolah agama cemerlang di Thailand, pelbagai anugerah diperolehi antaranya Outstanding Management Awards, Excellent Teachers Awards, Outstanding Teachers Awards , Outstanding Students Award dan banyak lagi.

Menurut Ketua Wanita IKRAM Hulu Selangor, Ustazah Nor Hafizah Daud, delegasi jaulah telah disambut meriah oleh para pelajar dan tenaga pelajar, dijamu dengan sarapan kuih-muih yang enak, diikuti dengan sesi taaruf, taklimat, ucapan dan makan tengahari.

“Menarik sekali apabila pengacara majlis menggunakan empat bahasa iaitu Bahasa Arab, Inggeris, Thailand dan Bahasa Melayu,” katanya mengenai sesi taaruf, taklimat dan ucapan.

Dalam ucapan balas, Yang Dipertua IKRAM Hulu Selangor, Ustaz Dr. Muhammad Azhar Zailani menegaskan keazamannya agar IKRAM dapat menjadikan kejayaan sekolah itu sebagai satu dorongan dan aspirasi untuk mengembangkan institusi pendidikan yang ada.

Delegasi jaulah turut menyerahkan sumbangan sebanyak 20,000 Baht, sumbangan kutipan kilat daripada ahli sebanyak RM1,200 dan sumbangan penderma lain sebanyak 9,000 Baht serta kelengkapan alat tulis kepada para pelajar.

“Banyak kenangan manis dan ibrah yang mahal kami kutip di sini. Bagaimana kuatnya daya juang penggiat dakwah di sini, memartabatkan Islam dalam kehidupan serta institusi di sebuah negara yang umat Islamnya hanya minoriti,” jelas Ustazah Nor Hafizah.

Jaulah tarbawi ini merupakan program tahunan IKRAM Hulu Selangor dengan memilih destinasi yang berlainan setiap tahun antaranya Acheh, Kemboja, Turki  dan Patani selain umrah dan haji bersama.

Video di sepanjang jaulah boleh dilihat disini.

Tuesday, 28 November 2017

IKRAMTeens Hulu Selangor ke Pusat Sains Negara



Pada 27 November 2017, telah berlangsung lawatan IKRAMTeens Hulu Selangor ke Pusat Sains Negara . Seramai 80 orang remaja dari pelbagai sekolah di sekitar Hulu Selangor menyertai lawatan ini. Diiringi oleh 7 orang pengiring yang terdiri dari abang dan kakak dari Belia IKRAM Hulu Selangor .

Mereka didedahkan dengan pelbagai ilmu berkaitan sains dan aplikasi sains yang mudah dan menarik di dalam kehidupan. Tidak lupa juga, sedikit tazkirah dari abang dan kakak yang mengaitkan antara Al Quran dan Sains. Hingga bertemu lagi!

Monday, 30 October 2017

Karnival Hari Kesihatan IKRAM Hulu Selangor 3.0




Ahad, 9 Safar 1439 H bersamaan 29 Oktober 2017 telah berlangsung Karnival Hari Kesihatan IKRAM Hulu Selangor 3.0, di Sekolah Rendah Agama, Kg Soeharto, Jalan Sekolah, Felda Soeharto, Hulu Selangor. Program yang dianjurkan oleh Pertubuhan IKRAM Malaysia dan Wanita IKRAM kawasan Hulu Selangor ini mendapat kerjasama daripada: 1. SRA Kg Soeharto sebagai tuan rumah, 2. Team 'Malaysians Against Pornography atau MAP Selangor yang didatangkan khas untuk mengisi tiga slot selari iaitu slot bersama Ibubapa/Dewasa, Remaja dan Kanak-kanak, dan 3. Majlis Daerah Hulu Selangor, Karnival Hari Kesihatan dengan tema "Sayangi Keluarga, Cegah Pornografi" ini telah dirasmikan oleh Tuan Hj Mohd Amran bin Sakir, Ahli Majlis Daerah Hulu Selangor.


Seramai hampir 400 pengunjung termasuk kanak-kanak dilaporkan telah menghadiri karnival tersebut yang berlangsung seawal jam 8 pagi sehingga 1 tengahari. Pelbagai kaunter perkhidmatan, pameran dan gerai jualan disediakan sepanjang karnival setengah hari ini, antaranya termasuklah Pemeriksaan kesihatan percuma oleh Pusat Kesihatan Daerah, Pendaftaran Kad Peduli Sihat dari Aniza Medical Center (AMC), Pemeran dan Ceramah daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Pemeriksaan payudara oleh Breast Cancer Welfare Associations (BCWA), dan Kaunter Kerajaan Negeri Selangor. Selain itu, Karnival dimeriahkan lagi dengan pemberian kupon minyak kepada anak-anak muda, bazaar rahmah iaitu jualan barangan asas dengan harga subsidi dan acara cabutan bertuah yang menyaksikan penduduk mendapat hadiah utama iaitu sebuah peti ais dan mesin basuh daripada penganjur.


Semoga acara ini menjadi permulaan untuk sebuah kerjasama pada masa akan datang. Ini juga adalah salah satu usaha memperkenalkan IKRAM kepada masyarakat melalui program-program kebajikan dan kemasyarakatan, Semoga dengan usaha ini masyarakat akan lebih cakna dengan isu pornografi yang sangat membimbangkan ini dan semoga kita dapat menyediakan dunia yang lebih selamat untuk generasi seterusnya. Kepada Allah lah kita bertawakal.