Tuesday, 15 February 2011

Mesir Bergolak, Israel Tergugat


12-Feb-2011. IKRAM Hulu Selangor dengan kerjasama Masjid As-Salam telah mengadakan ceramah bertajuk 'Mesir Bergolak, Israel Tergugat'. Ceramah bersempena dengan peristiwa semasa yang sedang hangat melanda Mesir rentetan pemerintahan Rejim Diktator  Hosni Mubarak yang telah berlansung selama 30 tahun. Prof Madya Dr. Hafidzi telah dijemput ke Masjid As-Salam Bukit Sentosa  untuk menyampaikan ceramah ini.

Beliau menekankan bahawa asas negara hendaklah berpandukan ketaatan secara mutlak ke atas Allah dan Rasul manakala ketaatan ke atas pemimpin adalah bersyarat. Beliau membawa kisah gabenor di zaman khalifah Umar yang zuhud berbanding  kekayaan yang dimiliki Hosni Mubarak yang bernilai berbillion ringgit dan mendahului senarai antara mereka yang terkaya di dunia. Sementara itu 40 % rakyat Mesir menderita  berada bawah paras kemiskinan dengan hanya berpendapatan purata  purata 6 ringgit sehari !. Wujudnya jurang yang amat besar di antara mereka yang kaya dan miskin inilah yang boleh membawa kehancuran kepada sesebuah negara. Menurut Transparency International yang mengeluarkan CPI (Corruption Perception Index) , index Mesir semakin buruk dari tahun ke tahun di mana kekayaan hanyalah berlegar di sekitar 1000 keluarga yang ada kaitan dengan pemerintah.

Israel sebenarnya angkuh setelah sekian lama hasil daripada sokongan negara-negara Arab terutamanya Mesir yang bersempadan di Gaza, Palestin. Kejatuhan Rejim Mubarak melalui revolusi rakyat  memberi tamparan hebat kepada Israel yang kini hilang sekutunya. Kekuatan Israel sebenarnya bukanlah semata-mata kerana Amerika tetapi ianya adalah kerana adanya sekutu. Sejarah menukilkan bahawa ketika pada tahun 1979 rakyat telah bangkit menggulingkan  pemerintahan Shah Iran yang ketika itu merupakan sekutu kuat Israel. Kini peristiwa yang sama berulang di Mesir. Dengan kebangkitan rakyat yang semakin menular ke negara-negara arab lain ianya sudah pasti semakin membimbangkan Israel.

Manusia merancang dan Allah juga merancang, maka sudah tentulah perancangan Allah maha hebat. Bukankah Allah sudah menjanjikan kemenangan Islam pada akhirnya ? Semoga kejatuhan pemerintah zalim di Tunisa dan kini di Mesir adalah titik perubahan yang bakal memberi laluan kepada pemerintahan generasi yang faham agama.