Monday, 2 May 2011

Sekitar Seminar Dakwah Dalam Masyarakat Majmuk di Masjid As-Salam Bukit Sentosa





1-MEI-2011 BUKIT SENTOSA - Menyedari akan kepentingan memahami masyarakat majmuk di Malaysia,  Masjid As-Salam , IKRAM Hulu Selangor, Hidayah Center dan MAIS  telah sama-sama menganjurkan satu seminar yang dikenali sebagai " Dakwah Dalam Masyarakat Majmuk".



Menurut Pengarah Program,  En. Kamarul Zaman bin Noor Mohamed yang juga merupakan Naib Pengerusi Hidayah Center dan juga merangkap Pengarah  Dakwah Orang Bukan Islam IKRAM, seminar ini bertujuan meningkatkan kesedaran dakwah dan kefahaman masyarakat Islam Malaysia terutamanya  terhadap budaya dan pegangan bukan Islam ke arah mewujudkan suasana masyarakat yang harmoni. Seminar ini telah diadakan di Dewan Mesyuarat Masjid As-Salam Bukit Sentosa dan disertai oleh seramai 120 orang peserta daripada pelbagai peringkat.

      Di dalam ucapan aluannya, Nazir Masjid As-Salam, En. Abu Bakar bin Yang menekankan bahawa Islam bukan agama eksklusif dan berharap agar para peserta dapat menimba kaedah-kaedah dakwah yang bakal dikongsikan  dan seterusnya dapat memulakan usaha dakwah kepada bukan Islam. Menurut beliau lagi, pihak masjid juga mensasarkan seramai 10 saudara baru tahun ini sebagai salah satu daripada petunjuk prestasi utama bagi masjid.

 
         Yang DiPertua IKRAM Daerah Hulu Selangor, Ustaz Dr. Hj. Muhammad Azhar bin Zailaini  di dalam ucapan perasmiannya pula menerangkan bahawa Al-Quran sendiri menyatakan tiada kerja yang lebih baik selain mengajak manusia kepada Islam. Menurut beliau lagi  IKRAM sebagai sebuah NGO mempunyai sumber dan pengalaman untuk bekerjasama bagi melaksanakan usaha dakwah ini. Beliau juga turut menyeru agar setiap individu muslim agar  memulakan usaha berkongsi tentang Islam kepada  bukan Islam  jika masih belum berbuat demikian.

 
          Di dalam sesi pembentangan pertama oleh Saudara Lim Jooi Soon yang merupakan bekas penganut Buddha dan Kristian dan kini merupakan salah seorang pendakwah PERKIM,  menurutnya antara kaedah dakwah yang boleh dipraktikkan ialah  mempamerkan akhlak yang baik seperti rajin, amanah dan ikhlas, membantu non-muslim yang susah dan juga mengedarkan risalah-risalah dalam bahasa yang mudah difahami tentang Islam. Formula dan pendekatan yang digunakan juga haruslah bersesuaian dengan suasana dan masyarakat yang didekati. Sebagai mana contoh masyarakat di zaman Nabi Muhammad s.a.w yang memandang tinggi kepada syair, Al-Quran yang diturunkan sebagai wahyu ketika itu lebih agung daripada karya syair yang ada sehinggakan dapat menarik  bukan Islam masuk Islam ketika itu. Penekanan hendaklah terlebih dahulu diberikan kepada pembentukan akidah bagi memudahkan mereka mendekati Islam. Manakala pembentang kedua, Saudara Mohd Amin Yaacob  pula turut berkongsikan maklumat perbezaan mazhab yang terdapat di dalam agama Kristian dan memaklumkan terdapat 1 juta penganut Kristian di Malaysia dengan penganut Roman Katholik merupakan majoriti diikuti oleh penganut Protestan.

       Sesi pembentangan ketiga oleh Tuan  Hj. Muhammad Fitri bin Abdullah, Naib Presiden II PERKIM Selangor dan merupakan Ketua Jawatan  Kuasa Dakwah IKRAM Hulu Selangor  yang mana beliau merupakan bekas penganut agama Hindu, menerangkan bahawa masyarakat India di Malaysia  terdiri daripada 70% berketurunan Tamil dan selebihnya Telegu, Malayaalee, Punjabi, Bengali dan Celonese Tamil. Masyarakat India amat kaya dengan tradisi dan kebudayaan. Pendekatan utama yang perlu digunakan ialah dialog dan perjumpaan, kempen menghormati ibu bapa , mengedarkan risalah dalam Bahasa Tamil dan mengambil bahagian dalam acara kebudayaan mereka dan juga menganjurkan seminar menghargai sumbangan masyarakat India kepada Islam di Malaysia. Usaha-usaha ini menurut pengalaman beliau mampu menarik masyarakat India mendekati Islam.

      Sesi pembentangan terakhir oleh Tuan Hj. Dr Ann Wang Seng , Setiausaha  Kehormat  MACMA (Malaysian Chinese Muslim Association) dan juga merupakan bekas penganut Buddha menyeru agar masyarakat Islam mengikis anggapan negatif dan prejudis kepada Orang Cina dengan cuba memahami budaya masyarakat Cina. Masyarakat Islam perlu memperbetulkan persepsi negatif masyarakat Cina yang menjauhi Islam kerana beranggapan mereka perlu meninggalkan tradisi dan budaya mereka jika mereka menganuti Islam. Menurut beliau lagi terdapat banyak kajian yang menunjukkan hubungan rapat Masyarakat Cina di dalam perkembangan Islam di Asia Tenggara boleh dijadikan rujukan untuk menarik Orang Cina di Malaysia untuk memeluk Islam. Selain daripada itu menurut beliau juga ziarah-menziarahi ketika perayaan Tahun Baru Cina dan ketika kematian juga boleh membuka hati orang Cina memeluk Islam.

 

 Sesi Soal Jawab :


Antara peserta yang mengambil bahagian dalam sesi Soal Jawab

 





      Menurut salah seorang peserta yang sempat ditemu bual iaitu Saudara Muhammad Albert atau nama asalnya Albertrato, beliau merupakan bekas penganut Kristian yang baru memeluk Islam beberapa hari yang lepas. Beliau menetap di Kota Damasara dan menghadiri seminar ini  dengan tekad  meneguhkan lagi kefahaman beliau tentang Islam hasil daripada  perkongsian pembentang  berharap agar dapat menjadi muslim yang komited dan berazam untuk untuk berdakwah kepada rakan-rakannya yang masih belum Islam.