BATANG KALI, 27-28 Okt 2012 - Alhamdulillah Pertubuhan IKRAM Daerah Hulu Selangor telah sama-sama terlibat membantu penduduk Kg Kuantan, Kg Sg. Masin, Kg Genting Malik ketika mereka dilanda banjir kilat pada 9 Mei 2012 lepas.
Alhamdulillah pada hari ini pula, bagi mengeratkan lagi hubungan silaturrahim bersama penduduk kampung, Pertubuhan IKRAM Daerah Hulu Selangor telah bekerjasama dengan ahli Jawatan Kuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) ketiga-tiga kampung tersebut menganjurkan Majlis Qurban dan Ramah Mesra Aidil Adha di perkarangan Balai Raya Kg Kuantan, Batang Kali. Sekitar 300 orang penduduk telah menghadiri majlis ini.
Beberapa aktiviti telah disusun di sepanjang dua hari program berlansung pada 27 dan 28 Oktober 2012 . Bermula pada Sabtu, 27 Oktober penduduk kampung telah mengadakan aktiviti 'mengacau dodol' bersama-sama dan seterusnya diikuti pula pada Ahad, 28 Oktober dimulakan dengan dua ekor lembu telah dikorbankan seawal pagi sempena Hari Raya Aidil Adha. Penyembelihan telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Pertubuhan IKRAM Daerah Hulu Selangor, Ustaz Dr Azhar Muhammad Zailaini dan juga Profesor Nazari Ismail, Pengerusi Jawatan Kuasa Khidmat Masyarakat Pertubuhan IKRAM Negeri Selangor.
Aktviti seterusnya pada hari tersebut ialah pemeriksaan kesihatan percuma kepada penduduk kampung yang dibawakan khas oleh Pegawai Perubatan IKRAM Health yang diketuai oleh Dr Muhammad Munawar Mohamed Hatta . Hampir 60 orang penduduk telah dapat menjalani pemeriksaan kesihatan percuma ini.
Di samping itu, pihak Pusat Darah Negara turut sama dijemput untuk mengadakan kempen derma darah. Seramai 50 peserta yang terdiri daripada penduduk kampung dan ahli IKRAM Hulu Selangor telah mendaftar untuk mendermakan darah mereka . Mengikut statistik 90% penderma darah di Malaysia adalah merupakan bukan Islam dan kempen ini bertujuan menyedarkan lebih ramai umat Islam untuk turut sama menderma darah membantu mereka yang memerlukan.
Anak-anak juga turut diraikan di mana pertandingan mewarna bagi kanak-kanak tadika menyaksikan ramai yang mengambil bahagian meceriakan perjalanan majlis ini. Tidak ketinggalan sukaneka juga telah dijalankan untuk kanak-kanak sekolah rendah di padang futsal berhampiran.
Pertubuhan Aqsa Syarif Daerah Hulu Selangor, sebuah NGO yang terkenal memperjuangkan pembebasan Masjid Al-Aqsa dan hak penduduk Palestin daripada cengkaman Zionis Israel turut mengadakan pameran untuk pengunjung majlis memperolehi maklumat sebenar keadaan di Palestin dan juga aktiviti-aktiviti yang dijalankan dalam usaha membantu saudara kita di Palestin.
Turut sama hadir ialah Yang Dipertua Pertubuhan IKRAM Negeri Selangor, Ustaz Profesor Madya Dr Hasanuddin Mohd Yunus yang turut sama menderma darah dan seterusnya merasmikan majlis serta mengagihkan daging qurban bersama penghulu kepada para penduduk kampung. Di dalam ucapan alu-aluannya, beliau menyeru agar semua hadirin mengambil contoh teladan ketaatan kesabaran dan pendekatan seorang bapa iaitu Nabi Ibrahim a.s dan juga seorang anak iaitu Nabi Ismail a.s di dalam menyempurnakan perintah Allah s.w.t yang memerlukan pengorbanan yang amat besar. Profesor Madya Dr Hasanudin Mohd Yunus merupakan salah seorang sukarelawan yang mengambil bahagian di dalam misi bantuan Kapal Marvi Marmara yang telah diserang oleh askar zionis Israel.
Pertubuhan IKRAM Hulu Selangor ingin mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat menjayakan program ini dan semoga Allah s.w.t memberkati majlis ini dan diterima sebagai amal kebajikan.
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam.
-
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Sebagai menyambut kedatangan bulan Ramadhan yang tidak lama lagi, saya ingin berkongsi sedikit makluma...
-
السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُش...