PERUTUSAN YDP IKRAM SELANGOR
4 Oktober 2014 / 9 Zulhijjah 1435H
Ibadah Korban sebagai jalan mendekati Allah SWT dan Dakwah di jalan Allah menuntut pengorbanan.
Assalamualaikum wmt wbkth.
Selawat dan salam yang mulia buat Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabatnya, serta mereka yang mengikuti jalan Nabi Muhammad hingga hari kiamat.
Saudara/I yang dikasihi sekalian,
Alhamdulillah Thumalhamdulillah kita menyambut sekian kalinya Hari Korban atau Hari Raya Eidul Adha selama empat hari tasyrik iaitu hari 10, 11,12,13 Zulhijjah yang telah disyariatkan pada Tahun Ke-2 Hijrah bersamaan Ibadah Solat Eidul Adha.
Pada waktu ini berjuta-juta para Hujjaj seluruh dunia sedang melakukan ibadah wukuf di Arafah, bermalam sebentar di muzdalifah, melakukan ibadah dan mengumpul anak-anak batu secukupnya dan mabit di Mina serta melakukan ibadah melontar di ketiga-tiga Jamrah, melakukan tahallul dan kemudiannya melengkapkan Ibadah Haji dengan tawaf dan Saie.
Ianya satu pemandangan kerohanian yang luarbiasa dan gambaran hari di padang mahsyar yang sangat menginsafkan. Ianya adalah jihad dan pengorbanan masa, harta dan tenaga. Mereka datang dari pelusuk dunia dan meninggalkan segala harta, keluarga, pangkat mahupun gelaran. Mereka hadir memohon petunjuk Allah SWT dan ingin membersihkan segala dosa-dosa yang mereka telah lakukan dan berdoa agar diterima haji mereka sebagai Haji yang mabrur yang ganjarannya adalah syurga.
Kita yang berada aman di Negara kita pula dianjurkan bagi melakukan ibadah korban dan menjadikan ibadah itu sebagai cara untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan mengedarkan daging-daging korban kepada saudara-saudara kita yang memerlukan.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:“Dan telah Kami jadikan unta-unta itu sebahagian daripada syi’ar Allah, kamu memperolehi kebaikan yang banyak daripadanya, maka sebutlah nama Allah ketika kamu menyembelihnya dalam keadaan berdiri (dan telah diikat). Kemudian apabila telah roboh (mati), maka makanlah sebahagiannya dan beri makanlah orang yang rela dengan apa yang ada padanya (yang tidak meminta-minta) dan orang yang meminta. Demikianlah Kami telah menundukkan unta-unta itu kepada kamu, mudah-mudahan kamu bersyukur.” (Surah al-Haj: 36)
“Maka dirikanlah solat kerana Rabbmu, dan sembelihlah korban.”(Surah al-Kauthar: 2)
Zaid bin Arqam berkata: “Mereka telah bertanya, Wahai Rasullullah, apakah Udhhiyah (Qurban) itu? Nabi Muhammad s.a.w. menjawab: “Ia sunnah bagi bapa kamu Nabi Ibrahim.” Mereka bertanya lagi: Apakah ia untuk kita? Rasulullah s.a.w. menjawab: “Dengan tiap-tiap helai bulu satu kebaikan.” Mereka bertanya: “maka bulu yang halus pula? Rasullullah s.a.w bersabda yang bermaksud “Dengan tiap-tiap helai bulu yang halus itu satu kebaikan.” – Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah
Daripada Aisyah r.a Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: “Tiada suatu amalan yang dilakukan oleh manusia pada Hari Raya Qurban, yang lebih dicintai Allah selain daripada menyembelih haiwan qurban. Sesungguhnya haiwan qurban itu pada hari kiamat kelak akan datang berserta dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya, dan sesungguhnya sebelum darah qurban itu menyentuh tanah, ia (pahalanya) telah diterima disisi Allah, maka beruntunglah kamu semua dengan (pahala) qurban itu.” – Riwayat al-Tarmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim
“..Maka makanlah sebahagian daripadanya dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara dan fakir.” (Surah Al-Hajj: 28)
“.. Maka makanlah sebahagiannya dan beri makanlah orang yang rela dengan apa yang ada padanya (yang tidak meminta-minta) dan orang yang meminta.”(Surah Al-Hajj: 36)
Dakwah adalah pengorbanan
Sesunguhnya Ibadah Korban itu mengajar kita bahawa usaha menuju Allah itu memerlukan pengorbanan. Dan pengorbanan itu dilakukan demi mencari reda Allah SWT semata-mata. Pengorbanan yang kita lakukan bermula dari yang paling mudah dan ringan. Kemudian pengorbanan harta benda yang kita sayang. Kemudian pengorbanan jiwa dan raga apabila sampai masanya.
Boleh jadi pendakwah itu akan diugut untuk ditangkap mahupun dibunuh, dikeji, diumpat mahupun dituduh dengan pelbagai tohmah dan fitnah. Boleh jadi pendakwah itu akan dihumban ke dalam penjara meskipun dia sebenarnya adalah insan yang paling bertakwa dan rakyat yang paling cinta kepada bangsa dan negaranya. Itulah harga yang harus dibayar demi menyampaikan Risalah Islam kepada masyarakat dan ummah. Itulah jalan yang telah dilalui oleh para Nabi dan Rasul. Jalan yang telah dilalui oleh Imam Mazhab yang empat. Jalan yang dilalui oleh para ulamak silam dan para mujahid di kurun ini. Ada yang dipenjara dalam bilik bawah tanah yang sangat kecil ruangannya beralaskan simen kotor yang sejuk. Tidak melihat cahaya matahari bertahun-tahun. Ada yang dihukum kerja berat. Ada yang disiksa dan dihukum gantung sampai mati. Betapakah kejamnya balasan ke atas hamba mu yang soleh ini.
Maha benarlah Firman Allah SWT;
“Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepada kamu (cobaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cobaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah? ” Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.” (Surah Al Baqarah : 214)
Kadangkala para pendakwah akan diuji kesabarannya. Kesabaran menanggung derita dan kesusahan keseorangan di dalam sel penjara yang sejuk, kotor dan sempit tiada lubang udara. Dia keseorangan dan hanya bermonolog dengan RabbNya. Adakah saudaranya di luar berusaha untuk pembebasannya dan bagaimanakah nasib isteri dan anak tersayang. Semua fikiran ini akan berulang-ulang di dalam kotak fikiran. Hanyalah tawakkal kepada Allah SWT dan rahmat Allah yang memberikan rasa tenang ke dalam kalbu para Daie yang diuji. Itulah pengorbanan dan sekolah ujian di dalam dunia yang fana ini. Semua teori perjuangan tidak sama sekali dengan ujian yang sebenar. Itulah tarbiah bil ahdath iaitu tarbiah dengan melalui satu peristiwa.
Atau barangkali pendakwah akan diuji dengan pangkat, harta dan pujian. Ianya juga ujian kesenangan yang mengalpakan yang boleh menjerumuskan para Daie ke jalan kelalaian dan lupa diri. Sombong dan bongkak dan akhirnya tumpas dengan hawa nafsunya. Alangkah dahsyatnya ujian seperti ini.
Kenapakah beratnya ujian para pendakwah ? Tidak lain ialah kerana pendakwah itu adalah wasilah bagi risalah kebenaran kepada manusia. Syaitan dan manusia yang jahat tidak akan redha dengan para pendakwah. Mereka akan cuba menghalang para pendakwah menyampaikan risalah Islam. Dengan sebab itu ganjaran kepada para pendakwah ilallah adalah syurga.
"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah, lalu mereka membunuh atau terbunuh." (At Taubah : ayat 111)
"Janganlah kamu mengira bahawa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati, bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhannya dengan mendapat rezeki." (Surah Al-Imran : 169)
Semoga Eidul Adha yang sama-sama kita raikan akan memberikan peluang keinsafan di dalam hati kita. Kita melakukan ibadah korban dan kita juga berkorban atau terkorban di dalam kehidupan ini khususnya para pendakwah dalam usaha menyampaikan dakwah kebenaran, menyuruh kepada makruf dan mencegah masyarakat dari melakukan kemungkaran. Semoga Allah SWT menerima segala pengorbanan yang kita lakukan hanya senya untuk Allah SWT dan melihat Deen Islam ini tertegak dengan mulianya di bumi ini.
Amin Ya Rabbal ‘Alamin.
Hj Shamsul Ma’arif Hj Ismail
YDP IKRAM Negeri Selangor
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam.
-
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Sebagai menyambut kedatangan bulan Ramadhan yang tidak lama lagi, saya ingin berkongsi sedikit makluma...
-
السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُش...