Thursday, 16 June 2016

Adakah Nasib Terbela Jika Bangsa Sendiri Memerintah? Pengajaran Dari Pengalaman Negara Mesir

Kita sering mendengar ungkapan bahawa nasib bangsa Melayu akan pasti terbela jika bangsa Melayu terus memerintah. Oleh itu ramai yang merasakan fokus utama usaha politik ialah memastikan bahawa bangsa Melayu terus memerintah negara kita. Bagi mereka sama ada yang memerintah itu beramal dengan prinsip keadilan, tidak korup dan tidak menyalahguna kuasa bukan isu yang penting.

Persoalan yang timbul ialah, adakah benar apabila bangsa sendiri memerintah maka keadilan, kebebasan dan kesejahteraan akan pasti terjamin untuk semua anak bangsa?

Mungkin ada baiknya kita melihat pengalaman sebuah negara Islam yang besar di Timur Tengah iaitu Mesir. Negara ini mempunyai sejarah yang cukup lama, iaitu semenjak zaman Firaun lagi. Ia juga telah mengalami beberapa episod pergolakan politik. Namun sepanjang sejarah moden negara tersebut khasnya setelah merdeka pada tahun 1919, ianya telah diperintah pemerintah yang berbangsa Mesir dan beragama Islam. Walaupun wujud golongan beragama Kristian di Mesir, namun jumlahnya adalah kecil iaitu sebanyak 10 peratus sahaja. Institusi yang paling berpengaruh di Mesir semuanya berkait dengan agama Islam seperti pejabat Mufti Mesir serta Sheikhul Azhar dari Universiti Al Azhar, sebuah institusi pendidikan Islam terkemuka di dunia.

Mesir berubah dari sistem beraja kepada sistem republik pada tahun 1953 apabila Raja Farouk digulingkan dan kuasa jatuh ke tangan Presiden Muhammad Najib. Beliau digantikan oleh Jeneral Jamal Abdul Naser pada tahun 1956 yang memerintah sehingga 1970. Presiden Naser tidak menghormati hak asasi manusia dan sangat keras terhadap sesiapa yang menentang pemerintahan beliau, terutama dari kalangan golongan Islamis. Antara yang terbunuh semasa pemerintahan beliau ialah Sayyid Qutb, seorang pemikir dan penulis Islam yang mashur, yang digantung pada tahun 1966. Ramai lagi yang siksa dan dipenjarakan.

Apabila Jamal Naser meninggal dunia pada tahun 1970, beliau diganti oleh Anwar Saddat, bekas pegawai tentera yang juga merupakan rakan rapat Naser. Beliau juga tidak menghormati proses demokrasi dan meneruskan sikap keras terhadap pihak pembangkang dengan menyiksa dan memenjarakan mereka. Semasa pemerintahan beliau, keadaan ekonomi Mesir menjadi tenat dan subsidi makanan terpaksa dipotong. Akibatnya ramai rakyat yang sengsara dan kelaparan. Ini mengakibatkan beberapa `rusuhan makanan’ berlaku. Saddat mengambil keputusan berusaha mendapatkan bantuan negara Barat dan dengan itu telah memulakan langkah perdamaian dengan Israel, walaupun rakyat Mesir rata-rata tidak bersetuju. Pada tahun 1979, Saddat telah memeterai perjanjian damai dengan Israel. Walaupun beberapa negara Eropah dan Amerika terus memberi bantuan ekonomi kepada Mesir susulan dari perjanjian damai tersebut, namun kemarahan rakyat terhadap keputusan Saddat tersebut telah mengakibatkan beliau dibunuh oleh golongan ekstrimis pada tahun 1981.

Negara Mesir kemudian diperintah oleh Presiden Hosni Mubarak, juga seorang bekas pegawai tentera yang tidak menghormati proses demokrasi. Beliau telah melaksanakan Undang-undang Darurat (State of Emergency) dan menghadkan aktiviti politik serta menyekat kebebasan bersuara dan hak untuk berkumpul (right of assembly). Keadaan di negara Mesir bertambah teruk dan ramai rakyat hidup dalam keadaan yang sengsara. Akibat dari ketidakpuasan yang meluas di kalangan rakyat, Hosni Mubarak telah digulingkan dalam satu revolusi rakyat pada tahun 2011.

Mesir kemudian telah mengadakan proses pemilihan presiden yang paling demokratik dalam sejarahnya di mana rakyat telah dengan bebas memilih Muhammad Morsi dari parti FJP untuk menjadi presidennya. Malangnya selepas hanya satu tahun, Morsi telah digulingkan oleh tentera Mesir di bawah pimpinan General Al Sisi dan telah dipenjarakan. Turut dipenjarakan ialah ratusan penyokong beliau dari gerakan dakwah Ikhwan Muslimun. Orang awam yang lain juga telah dibunuh dan disiksa dan oleh itu ramai yang telah lari ke luar negara termasuk ke negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat.

Sekarang ini keadaan di Mesir dari aspek hak asasi manusia adalah sangat teruk di mana hak bersuara dan berpolitik adalah sangat terhad. Golongan Islamis, terutama dari kumpulan Ikhwanul Muslimin diburu, dipenjarakan, disiksa dan ada yang dibunuh. Mesir sekarang adalah di bawah pemerintahan rejim ketenteraan yang paling zalim dalam sejarahnya. Rakyat menjadi semakin sengsara kerana tidak dapat berbuat apa-apa.

Sementara itu, ekonomi Mesir pada masa ini juga semakin tenat. Menurut satu laporan, 26 peratus dari rakyat Mesir adalah dalam kategori miskin. Kadar pengangguran juga adalah tinggi iaitu 13.2 peratus sementara di kalangan wanita pula ialah 24.2 peratus. Sementara kadar literasi pada tahun 2015 dari kalangan lelaki ialah hanya 82.2% dan wanita 65.4% iaitu jauh lebih rendah berbanding Malaysia (lelaki 96.2% dan wanita 93.2%). Kejatuhan harga minyak antarabangsa membuat keadaan bertambah teruk. Ini kerana 40 peratus dari jumlah ekspot Mesir adalah dari sektor tenaga termasuk gas asli. Di samping itu jumlah pelaburan asing juga jatuh mendadak kerana semenjak dari 1990an lagi dua pertiga darinya adalah dalam sektor tenaga yang telah menguncup. Masalah ekonomi yang dihadapi oleh negara-negara Eropah yang merupakan destinasi utama ekspot Mesir juga memberi kesan negatif kepada ekonomi Mesir. Ekonomi China yang merudum turut memberi kesan teruk kepada pendapatannya dari Terusan Suez yang merupakan laluan utama perdagangan antara benua Asia dan Eropah. Kesemua faktor tersebut telah mengakibatkan tekanan ke atas nilai matawangnya dan akibat dari itu jumlah rezab antarabangsanya pada tahun 2014 telah menurun menjadi hanya 29 peratus berbanding tahun 2010.

Jelaslah dari fakta di atas bahawa walaupun negara Mesir telah sekian lama diperintah oleh pemimpin yang beragama Islam, namun nasib rakyatnya sungguh malang dan tidak terbela. Bukan sahaja jutaan telah dianiaya dan dizalimi bahkan keadaan kesejahteraan rakyat juga sangat rendah. Akibat dari kemelut sosial, politik dan ekonomi yang dihadapinya, ramai rakyat Mesir terutama dari golongan yang cerdik dan berpendidikan mencari pekerjaan di luar negara termasuk di Eropah dan Amerika Syarikat walaupun negara tersebut diperintah oleh pemimpin yang bukan Islam.

Pengajaran utama yang boleh diperolehi dari apa yang sedang berlaku di Mesir ialah kebajikan rakyat tidak akan terjamin hanya dengan kriteria negara mesti diperintah oleh bangsa sendiri yang beragama Islam. Rakyat juga perlu memastikan pemerintah Islam itu menghayati ajaran sebenar agama Islam iaitu di antara lain ialah menghormati proses syura (iaitu demokrasi), beramal dengan kaedah kebertanggungjawaban (accountability), memerintah dengan adil dan saksama, tidak korup serta bersikap telus dan amanah. Hanya apabila negara diperintah oleh pemerintah yang bercirikan kriteria di atas, maka inshaAllah rakyat akan dapat mengecapi kebajikan dan kesejahteraan yang sebenar, sesuai dengan ungkapan di dalam Al Quraan…BALDATUN THAYYIBATUN WA RABBUN GHAFUR.

Prof.Dr. Mohd Nazari Ismail, Ketua Biro Penyelidikan IKRAM.