Wednesday, 6 July 2016

PERUTUSAN AIDILFITRI 1 SYAWAL 1437 H KETUA WANITA IKRAM HULU SELANGOR


بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الله اكبر الله اكبر الله اكبر
Salam Eidul Fitri buat semua..
Tetamu Agung yang singgah dengan pelbagai hadiah dan tawaran lumayan sudah berangkat pergi lalu meninggalkan pelbagai rasa yang mengesankan di dalam jiwa raga, hati dan sanubari insan yang terpilih.

'Eidul Fitri atau Hari Raya Fitrah itu bermaksud Kembali kepada Fitrah iaitu telah kembali bersih dan suci daripada segala dosa umpama bayi yang baru dilahirkan .Bagi orang yang berpuasa dengan penuh penghayatan sepanjang bulan Ramadhan pasti akan mendapat sepenuh pengampunan dari Allah swt dan itulah yang di katakan kemenangan.

Benarkah kita telah menang?

Adapun buat penggerak Islah, pejuang Dakwah dan para Dai'e di jalan Allah, Ramadhan merupakan saat paling penting untuk mengumpul kekuatan, mentarbiah rohani , minda dan jasmani sebagai bekalan untuk bersedia dan lebih kuat dalam menghadapi perjuangan dan mehnah yang mendatang.

Dalam surah Al Baqarah ayat 183, Allah telah berfirman :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Wahai orang-orang yang beriman! di wajibkan bagi kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu BERTAQWA
Perkataan yang Allah gunakan adalah َكُتِب dari kata dasar َكَتَب bermaksud "tulis"
Adapun كُتِب ini maksud sebenarnya bukanlah hanya 'wajib' semata-mata seperti yang di terjemahkan dalam bahasa melayu, tetapi lebih dari itu, ulamak berpendapat sebagai : bahawa puasa yang 'tertulis' untuk kamu itu merupakan satu sistem yang jitu dan sempurna bagi manusia yang beriman untuk dapat mencapai tahap TAQWA

Mengapa tidak ...?

kerana bulan Ramadhan ini adalah satu 'training camp' yang mentarbiah seluruh komponen yang ada dalam diri seorang insan iaitu :
Qalbu (hati)- Nafs ( Jiwa) - Aqal - Roh dan Jasadnya.
A. Qalbu ( hati )dididik dengan Sahur
Perhatikan Surah Ali Imran :17.
الصَّابِرِينَ وَالصَّادِقِينَ وَالْقَانِتِيَن وَالْمُنْفِقِينَ وَالْمُسْتَغْفِرِينَ بِالْأَسْحَارِ
(Dan juga) orang-orang
▶ yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah)
▶ dan orang-orang yang benar (perkataan dan hatinya)
▶ dan orang-orang yang sentiasa /tetap taat (akan perintah Allah)
▶ dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah)
▶ dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur

Perhatikan pula firman Allah dalam surah Az Zaariaat : 15-19

إِنَّ الْمُتَّقِينَ فِي جَنَّاتٍ وَعُيُونٍ
Sesungguhnya orang-orang yang berTAQWA adalah ditempatkan di dalam beberapa taman Syurga, dengan matair-matair terpancar padanya (Ayat 15)

آخِذِينَ مَا آتَاهُمْ رَبُّهُمْ ۚ إِنَّهُمْ كَانُوا قَبْلَ ذَٰلِكَ مُحْسِنِينَ
(Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan ( Ayat 16)

كَانُوا قَلِيلًا مِنَ اللَّيْلِ مَا يَهْجَعُونَ
Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: masa dari waktu malam, untuk mereka tidur.(ayat 17)

وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ
Dan pada sahur (waktu akhir malam , sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun). (ayat 18)

وَفِي أَمْوَالِهِمْ حَقٌّ لِلسَّائِلِ وَالْمَحْرُوم
Dan pada harta-harta mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta) (ayat 19).

Dalam al Quran Allah mengaitkan waktu Sahur dgn orang-orang yg mempunyai ciri-ciri di atas. Sahur sebenarnya bukan sekadar makan minum, tetapi lebih dari itu, ianya adalah sunnah dan bertujuan untuk membentuk keperibadian kita.

Intipati sahur adalah untuk memohon keampunan dari Allah swt, memulakan hari baru dengan istighfar dan Qalbu (hati ) yang bersih . Natijahnya supaya kita memperolehi hati yang sujud. Sujud bukan sekadar dalam solat, tapi bawalah sujud di luar solat. Hati yang sujud, sentiasa tunduk dan patuh kepada Allah. Hati yang sujud tidak nampak cacat cela orang lain, tapi hanya nampak cacat cela dan dosa-dosa diri sendiri. Maka hati mendorong diri insan untuk sentiasa muhasabah diri dan bertaubat.

B. Nafs atau jiwa dididik dengan Siam (صيام), Sauma (صوم), Imsak dan Sabar.
Kesalahan besar umat Islam apabila tidak menghayati maksud Siam (صيام) , Sauma (صوم) dan Imsak yang sebenar. Iaitu bukan sekadar menahan diri daripada makan minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa, tetapi mestilah kuat menahan diri dari melakukan perkara yang boleh menghilangkan atau membatalkan pahala puasa. Puasa sebenarnya menuntut kita supaya membuang sifat2 negatif dari dalam diri kita.

Kita kurang memberi perhatian untuk membuang sifat-sifat mazmumah seperti suka bertangguh tangguh kerja, malas... bermalas-malasan , termasuk juga malas untuk berfikir , tidak bersegera dalam melakukan amal , cepat marah, suka bersangka buruk, mengadu domba dan mengumpat, melampau -lampau dalam penyediaan makanan dan persiapan raya, makan dengan berlebih2an , suka membazir dan banyak lagi sifat- sifat negatif yang lain.

Kerana itulah seberapa banyak pun syiar yang kita tegakkan di bulan ramadhan seperti bersedekah , berqiamulail, bertarawih, membaca Al Quran, bertadarus, Iktikaf di masjid dan sebagainya. Akhirnya menjadikan kita orang yang sama juga kerana pada hakikatnya kita hanya menambah amal tetapi TIDAK MEMBUANG perilaku negatif kita..

Sebaik sahaja Ramadhan berlalu, perilaku negatif itu bercampur baur di dalam diri dan menjadikan kita masih tetap orang yang sama. Hanya sekiranya kita mampu membuang Mazmumah dalam diri maka barulah kita menjadi orang baru , seolah- olah di lahirkan semula.

Adapun hanya orang-orang yang SABAR saja yang mampu dan berjaya melakukannya.
Kerana itulah ulama' menggariskan sabar itu kepada tiga peringkat :

Pertama : sabar dalam menghadapi ujian atau musibah.
Kedua : sabar dalam melakukan ketaatan kepada Allah swt dan
Ketiga : sabar dalam meninggalkan perbuatan maksiat (iaitu Sabar dalam membuang sifat2 mazmumah atau negatif dalam diri).

Maka di katakan bahawa yang ketiga itu merupakan darjat sabar yang paling tinggi. ( dipetik daripada kitab Tanbihul Ghafilin).

Di dalam surah Az Zumar ayat 10 pula, Allah menjanjikan orang-orang yang sabar dengan ganjaran yang tidak terbatas. Lihatlah betapa TINGGInya nilai sabar dalam membentuk jiwa manusia. Inilah yang dikatakan mujahadah.

C. Aqal dididik dengan Al Quran, Tadarus , Tilawah dan Tadabbur.
Puasa itu untuk kita mencapai taqwa sepertimana firman Allah swt dalam surah al baqarah:183.

Manakala Ramadhan pula untuk kita semakin dekat dengan Al Quran (al Baqarah : 185).

Bulan ramadhan itu memang bulan al Quran.

Maka aqal kita harus berfikir dan memproses apa yang Allah maksudkan dengan bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran,
▶menjadi PETUNJUK bagi sekalian manusia,
dan
▶menjadi BAYYINAT keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk
dan
▶ al FURQAN : Yang Membezakan antara yang HAQ dengan yang BATIL .
Al Quran itu harus digali isi nya , di TADABBURkan supaya ia benar2 dapat menjadi petunjuk kepada seluruh manusia (hudallinnaas).
Aqal yang tidak mahu berfikir adalah aqal yang mandul. Kita telah kufur nikmat sekiranya kita tidak menggunakan aqal kita dan tidak memperuntukkan masa kita untuk belajar dan memahami isi Al Quran.
Carilah masa untuk memahami petunjuk Al Quran ini.
D. Ruh dididik dengan tarawih .
Tarawih itu maksudnya rehat..maka kita memberi kerehatan kepada ruh dengan pengisian tarawih. Kerana ruh kita dahagakan pengisian rohani. Ruh kita merindui munajat kepada Penciptanya.
E. Jasad dididik dengan Iftar.
Iftar atau berbuka mestilah dengan kadar sederhana bagi memungkinkan kita melaksanakan amal ibadah yang lainnya seperti tarawih , qiamulail dan lain -lain.
Fitrah manusia memerlukan makanan untuk hidup, kerana itulah, dalam keadaan darurat makanan yang haram menjadi halal demi kesinambungan nyawa. Namun makan yang berlebih-lebihan bukan lagi menghidupkan tetapi memudaratkan jasad.

Fahami firman Allah dalam Surah Thohaa : 81
كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَلَا تَطْغَوْا فِيهِ فَيَحِلَّ عَلَيْكُمْ غَضَبِي ۖ وَمَنْ يَحْلِلْ عَلَيْهِ غَضَبِي فَقَدْ هَوَىٰ
Serta Kami katakan: Makanlah dari benda-benda yang baik yang Kami kurniakan kepada kamu, dan janganlah kamu melampaui batas padanya, kerana dengan yang demikian kamu akan ditimpa kemurkaanKu; dan sesiapa yang ditimpa kemurkaanKu, maka sesungguhnya binasalah ia.

Melampau batas dalam makan rupanya membawa kemurkaan Allah swt.
Dari sudut kesihatan, makan yang berlebihan itu memang membawa penyakit.
"Sesiapa yang tertimpa kemurkaan Ku maka binasalah ia "
Gabungan perkataan ف dan قد bermaksud kebinasaan itu berlaku dengan segera tanpa tempoh menunjukkan sesuatu yang pasti berlaku dan ianya berlaku dengan segera tanpa bertempoh. Tetapi mengapa kita tidak terasa pun kebinasaan itu terjadi kepada kita ?
Kerana rohani kita telah mati akibat kelalaian jasad kita tadi. Rohani yang mati tidak nampak kebenaran, rohani yang mati tidak mahu bersegera dalam amal dan rohani yang mati tidak nampak kesalahan diri sendiri. Inilah kebinasaan yang paling di takuti.

Mudah2an menanglah orang-orang yang berjaya mendidik Qalbu, Jiwa, Aqal , Ruh dan Jasadnya sepanjang bulan Ramadhan ini sehingga dia berjaya untuk istiqamah di dalam amalannya sekarang mahupun di luar bulan Ramadhan.

Kini tibalah fajar Syawal.
Syawal bermaksud PENINGKATAN.
Peningkatan dari segi qualiti diri seorang insan sebelum memasuki madrasah ramadhan dan selepas keluar dari madrasah ramadhan. Dan yang paling penting adalah istiqamah dalam amalannya.

Oleh itu marilah ikhwah dan akhwat semua , kita menghitung dan menilai semula sejauh mana peningkatan diri kita berbanding sebelumnya. Adakah kita orang yang menang lantas mendapat gelaran taqwa atau sebaliknya. Orang - orang yang menang itu ialah orang yang dapat menghayati ibadah puasa dan bijak merebut rahsia-rahsia dan hadiah - hadiah Ramadhan dengan sebenar-benarnya.

Semuga semua kita tidak ketinggalan merebut peluang sepuluh akhir ramadhan yang didalamnya ada Lailatul Qadr dan juga malam Eid yang tidak kurang hebat tawaran hadiah nya.

Bermunajatlah mohon keampunan, kekuatan , kesabaran dan mohon di permudahkan kita melalui onak dan ranjau perjuangan.

Pinta lah ilham, petunjuk dan idea yang bernas untuk menggerakkan dan memajukan halatuju jamaah yang kita kasihi ini.

Mohonlah kemenangan buat pejuang-pejuang kebenaran di mana jua mereka berada.
Doakanlah jua kebaikan dan pengampunan buat ibu bapa, pasangan kita, anak-anak, saudara mara dan sahabat2 kita.

تقبّل الله منّا ومنكم ،
كل عام وانتم بخير.
اللّهم آمين

الله اكبر الله اكبر الله اكبر
لا اله الا الله والله اكبر
الله اكبر و لله الحمد
Salam 'eidul Fitri.
Mohon Ampun Maaf
Zahir dan Batin dari saya.
Semoga semuanya selamat pergi dan balik ke destinasi yang di tujui, gunakan sepenuh kesempatan mempereratkan sillaturahim sesama saudara mara dan sahabat handai.

إني أحبكم في الله
Nor Hafizah Daud
Ketua Wanita IKRAM Kawasan Hulu Selangor.