Seminar DDMM di PULAPOL Bukit Sentosa Semarakkan Lagi Usaha Dakwah Kepada Rakan Bukan Islam



 BUKIT SENTOSA 17-Feb-2014 - Pertubuhan IKRAM Hulu Selangor, Hidayah Centre, Masjid As-Salam Bukit Beruntung dan Majlis Agama Islam Negeri Selangor (MAIS) telah bersama-sama menganjurkan Seminar Dakwah Dalam Masyarakat Majmuk atau lebih dikenali sebagai Seminar DDMM pada 15 dan 16 Februari 2014 bertempat di Auditorium 2 Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di Bandar Bukit Sentosa. 
Seminar ini telah dihadiri oleh kira-kira 80 peserta terdiri daripada pendakwah pelatih  yang datang dari Pusat  Dakwah Serantau (PDS) Yayasan Amal dan juga individu perseorangan yang berminat dalam menjalankan usaha dakwah kepada rakan bukan Islam. Penglibatan ramai generasai muda dalam seminar kali ini  memperlihatkan kesedaran yang tinggi di kalangan mereka akan kepentingan berdakwah ke atas rakan bukan Islam. Turut serta  ialah saudara baru  bekas penganut agama Kristian, Hindu dan Buddha yang  mahu mempertingkatkan lagi ilmu dan kemahiran berdakwah kepada rakan dan saudara mereka.

Matlamat utama seminar ialah memberi kemahiran kepada peserta dalam menyemarakkan usaha dakwah kepada rakan bukan Islam. Di sepanjang dua hari seminar, para peserta telah pun didedahkan dengan kemahiran berikut  :
  •  Ilmu asas kepercayaan dan amalan masyarakat bukan Islam di Malaysia
  •  Kesedaran dan semangat berdakwah kepada bukan Islam
  •  Menguasai beberapa teknik asas berdakwah untuk memberi keyakinan diri menjawab  persoalan ketika berdakwah.
Ustaz Muhammad Romzi Abdullah Sani selaku wakil pihak MAIS di dalam ucapan perasmiannya amat mengalu-alukan peranan pihak NGO mengadakan seminar ini supaya dapat melahirkan lebih ramai pendakwah bagi membantu menyokong usaha  pihak MAIS menyampaikan risalah dakwah Islam kepada bukan Islam dengan lebih berkesan .
Beberapa slot ceramah telah diatur sepanjang dua hari program berjalan. Ceramah disampaikan oleh pendakwah-pendakwah pakar yang sangat berpengalaman dalam menjalankan kerja-kerja dakwah kepada rakan bukan Islam.  Ceramah terdiri daripada tajuk berikut : 
  •  Kewajipan Berdakwah - Cikgu Kamarul Zaman Noor Muhammad
  •  Salah Faham Terhadap Islam - Brother Lim Joi Soon
  •  Kepercayaan dan Amalan Cina - Brother Lim Joi Soon
  •  Kepercayan Agama Kristian - Ustaz Mohammedd Amin Yaacob
  •  Kepercayaan Masyarakat Hindu - Ustaz Hj. Muhammad Fitri Abdullah
  • Teknik-Teknik Berdakwah - Puan Munirah
  • Sharing Dakwah -  Puan Hanita Rahim
  •  Bible Study - Cikgu Kamarul Zaman Noor Muhammad

 'Tugas berdakwah adalah tugas 'Kita'. Namun yang lebih tepat adalah tugas 'Saya'.  Begitulah  seperti yang diperkatakan oleh Pengarah Program Cikgu Kamaruzaman di dalam pembentangannya. Setiap individu menurutnya perlu mengambil  tanggungjawab memulakan usaha dakwah dan bukan menunggu orang lain.
'Saya berazam untuk berdakwah kepada orang kampung saya apabila saya pulang ke Sarawak nanti'. Kata Rizwan pendakwah muda berusia 18 tahun yang merupakan pelatih di PDS yang berazam pulang berdakwah ke kampung halamannya di Kuching Sarawak bila tamat latihan nanti.
 'InsyaAllah saya akan membentuk kumpulan street dakwah secepat mungkin di tempat saya. Saya yakin dengan kemahiran yang diperolehi di sini menguatkan  keyakinan  kita untuk berdakwah.'  Kata Encik Jamel yang merupakan salah seorang ahli Perkim di tempatnya.
 Pada hari kedua di sebelah petang telah dijalankan Street Dakwah, satu sesi praktikal  di mana peserta ditugaskan  berdakwah menggunakan teknik-teknik yang dipelajari di sepanjang seminar. Peserta telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil untuk berdakwah kepada bukan Islam  di beberapa lokasi pusat membeli belah di sekitar Hulu Selangor.
Lebih 135 rakan bukan Islam telah ditemui bagi mendapatkan maklumbalas mereka tentang Islam. Ramai di antara mereka  menunjukkan keterbukaan mereka terhadap Islam dan ada yang bersedia atau berminat menerima maklumat lanjut tentang Islam dan lebih menarik lagi apabila seorang warga asing yang ditemui telah melafazkan syahadah memeluk Islam di Batang Kali .


Di majlis penutup dan penyerahan sijil penyertaan,  YDP Pertubuhan IKRAM Hulu Selangor, Ustaz Dr. Azhar Muhammad Zailaini menyatakan bahawa isu sosial merupakan satu isu utama bagi pihak pemerintah pada masa kini. NGO seperti Pertubuhan IKRAM menurutnya memainkan peranan penting menangani isu sosial  dan dapat membantu  memupuk persefahaman dengan kaum lain. Menurut beliau lagi, Pertubuhan IKRAM sebagai pertubuhan dakwah  mensasarkan  80% masyarakat Malaysia memeluk Islam dan mahukan usaha dakwah kepada rakan bukan Islam terus dipergiatkan lagi.

Majlis kemudiannya telah ditutup secara rasmi oleh Ustaz  Faruk Faisal , Penyelaras Masjid dan Surau  Hulu Selangor wakil dari pihak JAIS.  Dalam ucapan beliau,  dakwah adalah pekerjaan mulia kerana ia adalah kerja para nabi. Konsep dakwah perlu diperluaskan dengan idea yang kreatif dan beliau percaya bahawa generasi muda boleh memainkan peranan utama dalam usaha dakwah masa kini. Menurut beliau juga pendakwah mestilah mempunyai kefahaman Islam yang jelas dan juga menguasai penyampaian Islam dengan bahasa yang baik bagi memikat hati rakan bukan Islam .

Akhirnya, marilah kita renungi  Surah Fussilat Ayat 33 yang bermaksud :

 
Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang- orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!"

Sekian.

Artikel berkaitan