BUKIT BERUNTUNG, 12 Aug 2013. Alhamdulillah, Ikram Hulu Selangor dan ahlinya sekali lagi diberikan kesempatan pada Ramadhan kali ini untuk memberikan sedikit sumbangan sebagai bantuan kepada mereka yang memerlukan. Mereka yang memerlukan ini terdiri daripada Saudara Baharu, Orang Asli, Pelajar IPT , ahli-ahli dan rakan-rakan Ikram Hulu Selangor. Mereka merupakan penduduk di sekitar 14 Kariah Masjid iaitu Batang Kali, Bukit Sentosa, Bandar Country Home,Kampung Kenanga, Kg Melayu Batu 16 Rawang, Kuala Kubu Bharu, Rawang Perdana, Serendah, Sungai Buaya, Kampung Sg Masin, Bandar Tasik Puteri, Taman Tun Teja Rawang dan Flat Taman Cempaka. Turut menerima sumbangan ialah pelajar Institusi Pengajian Tinggi Darul Quran dan juga pelajar dari 7 buah sekolah iaitu SK Bukit Sentosa,
Taman Bunga Raya, Kuala Kubu Bharu , Serendah (Anak Yatim) , Sinaran budi (Anak Yatim) dan SMK Serendah dan juga Sg. Choh. Jumlah keseluruhan penerima sumbangan ini terdiri daripada 218 individu/keluarga, Alhamdulillah.Mereka menerima barangan sumbangan keperluan seperti beras, gula, minyak,tepung dan tidak ketinggalan sedikit duit raya. Bagi pelajar pula mereka menerima wang tunai untuk membantu serba-sedikit keperluan sekolah mereka. Alhamdulillah, keseluruhan sumbangan bernilai hampir RM26,000 dapat dihulurkan oleh Ikram Hulu Selangor .
Di dalam taklimat penyerahan sumbangan kepada wakil kawasan, YDP Ikram Hulu Selangor, Ust. Dr Azhar berkongsi sebuah hadis Nabi s.a.w di mana Baginda Rasulullah s.a.w semakin pemurah apabila tiba Bulan Ramadhan dan di sepuluh hari akhir Ramadhan Rasullullah s.a.w bertambah-tambah pemurah. Oleh itu diharapkan usaha yang sedikit yang dilakukan di hari ke 24 Ramadhan ini adalah sebahagian daripada usaha untuk menghidupkan sunnah Rasulullah s.a.w di mana Bulan Ramadhan sebagai bulan mengasihani mereka yang susah.
Seterusnya Ust. Dr Azhar melakukan penyerahan sampul berisi sumbangan duit raya kepada wakil-wakil kawasan untuk diserahkan kepada penerima nanti bersama barangan keperluan yang turut disediakan.
Di akhir taklimat, Ust. Dr Azhar mengucapkan terima kasih kepada mereka yang mengambil bahagian di dalam program ini dan juga JK Baitul Muslim dan Rabtul Am yang mengendalikan program ini. Namun begitu sumbangan ini adalah merupakan sedikit daripada usaha-usaha yang perlu dijalankan dan InsyaAllah Ikram Hulu Selangor akan terus berusaha membantu ramai lagi mereka di luar sana yang memerlukan bantuan.
Majlis ditutup dengan doa dari Ust. Dr Azhar dan majlis bersurai untuk wakil-wakil kawasan mengisikan kenderaan mereka dengan barangan yang akan diserahkan dan bergerak ke kawasan masing-masing untuk menyampaikan sumbangan ini.
Alhamdulillah. Klik untuk foto selanjutnya..