Ramadhan ialah tetamu yang mulia, ia adalah bulan rahmat, keampunan, bulan Al Quran, bulan yang di dalamnya ada malam qadar (lailatul qadar) iaitu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Oleh itu seorang muslim hendaklah menyambut bulan yang mulia ini sebagai suatu utusan atau tetamu yang ditentukan Allah s.w.t untuk hambaNya memperoleh berbagai keistimewaan daripadanya.
Dalam hal ganjaran ibadat puasa di bulan yang mulia ini, berdasarkan sebuah hadith qudsi Allah menyatakan: “… ….kecuali puasa kerana ia (puasa) adalah untukKu dan Aku yang akan memberi ganjarannya (balasannya) .” Pengecualian bentuk ganjaran pahala ibadat puasa Ramadhan daripada ketetapan nisbah atau bentuk ganjaran amalan yang lain adalah suatu yang istimewa. Berbanding dengan amalan kebajikan lain, Allah nyatakan bahawa satu amalan kebajikan akan dibalas dengan sepuluh kebajikan.
Ramadhan begitu istimewa kerana dengannya seorang mukmin mendapat peluang keemasan yang menjadi sebab atau antara sebab untuk dia memperoleh kebahagian yang hakiki di dunia dan di akhirat. Kerana itu sabda Nabi s.a.w : “ Jika sekiranya hamba-hamba ini ( umatku ) mengetahui apa dia Ramadhan, nescaya umatku akan bercita-cita (mahu) agar setahun ( yang mana bulan-bulan di dalamnya ) kesemuanya adalah Ramadhan.”
Ambil peluang keemasan dengan sebaiknya….
Seorang mukmin mesti mengambil peluang untuk meraih keuntungan akhirat dengan menggunakan sebaiknya peluang ini untuk melakukan berbagai ibadat dan amalan kebajikan kepada Allah s.w.t. Kita sedia maklum bahawa amalan-amalan di bawah cabang iman, yang mana jika dilakukan boleh meningkatkan iman dan taqwa kita kepada Allah, amalan itu ada yang datang sekali seumur hidup seperti ibadat haji, ada yang datang sekali dalam setahun seperti puasa Ramadhan, ada yang hanya khusus pada waktu-waktu atau ketetapan yang ditentukan seperti solat dan zakat, ada yang diperolehi pada sempena-sempena tertentu seperti menziarahi pesakit, menziarahi jenazah, solat ke atasnya dan mengiringi jenazahnya ke kubur. Ada yang peluangnya sentiasa ada seperti membuang benda-benda yang menyakiti di jalan. Ada yang lahir dari sifat dalaman dalam jiwa seseorang seperti menghiasi diri dengan sifat malu (malu untuk berbuat maksiat dan dosa). Ada yang memerlukan amalan itu hingga menjadi kebiasaan yang mantap pada diri seseorang seperti berzikir Lailaha illallah.
Justeru itu, dalam kehidupan seharian di bulan Ramadhan yang mulia ini, setiap mukmin itu mesti mempunyai amalan-amalan yang tertentu yang boleh meningkatkan keimanan dan ketaqwaannya kepada Allah, mendekatkan dirinya kepada Allah, kerana dia mestilah sedar bahawa dia berada di bulan jihad yang memerlukan mujahadah ( kesungguhan) serta bulan ibadat yang sepatutnya dipenuhi waktunya dengan ibadah bukan diisi dengan perkara-perkara yang sia-sia dan melalaikan seperti berborak-borak kosong, melepak,hiburan yang keterlaluan, atau pun hari-hari puasanya hanya diisi dengan perkara-perkara yang harus seperti tidur, berhibur, bermain dan seumpamanya.
Dalam kehidupan seharian, seseorang mempunyai masa di tempat kerja, masa bersama keluarga dan masa berurusan dengan masyarakat, namun janganlah ianya menjadi penghalang daripada dia menunaikan kewajipan solat lima waktu, pergi ke masjid untuk solat berjemaah, jika tiada masjid atau surau yang dapat didirikan solat berjemaah hendaklah dia berusaha mengajak orang-orang disekelilingnya untuk sama-sama mendirikan solat berjemaah sama ada di tempat kerjanya, di kawasan ladangnya, atau mana-mana tempat yang boleh didirikan solat berjemaah.
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam.
-
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Sebagai menyambut kedatangan bulan Ramadhan yang tidak lama lagi, saya ingin berkongsi sedikit makluma...
-
السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُش...