الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ
أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى
الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ
إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ
اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى
آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ
…أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ
وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Khatib
pada hari ini bersama seluruh umat Islam menyatakan rasa dukacita yang
amat sangat ke atas saudara-saudara seiman yang dizalimi dan dibunuh
dengan sewenang-wenangnya di bumi anbiya’ - bumi Mesir. Saat ini ketika
teks khutbah ini dinukil, sudah lebih dari 2,200 rakyat Mesir termasuk
wanita dan kanak-kanak yang sudah terkorban syahid. Bilangan yang
tercedera sudah menjangkau lebih dari 10,000 orang. Hari ini dan saat
khutbah ini disampaikan pada hari Jumaat 9 Syawal 1434 H, berapakah pula
bilangan umat Islam yang terkorban syahid akibat perbuatan kelompok
zalim dan tidak berperikemanusiaan.
Apa
yang amat menyedihkan ialah umat Islam di Mesir dibunuh tanpa belas
kasihan oleh tentera Mesir sendiri. Apakah jenayah mereka sehingga
diperlakukan dengan begitu biadab? Bukankah tugas tentera ialah menjaga
keselamatan negara daripada pencerobohan musuh dan anasir luar? Dalam
situasi Mesir, sudah tentulah musuh utama yang paling hampir menjadi
ancaman kepada keselamatannya ialah Israel. Namun apa yang berlaku sejak
tarikh Presiden Morsi digulingkan, tentera nampaknya lebih berminat
untuk menjamin keselamatan Israel dengan membunuh rakyatnya sendiri.
Kenapa
Jeneral Abdul Fattah As-Sisi sanggup mengerah tentera untuk bertindak
bukan sahaja di luar batas syara’ (Islam) bahkan melampaui batas
kemanusiaan, apapun prinsip dan dasarnya? Tindakan kebinatangan ini
meletakkan kelompok yang menyokong kudeta ke atas Presiden Morsi dan
kerajaan beliau yang sah berada semakin jauh terperosok ke dalam
kesalahan jenayah yang dilakukan.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Allah SWT mengingatkan kita dalam al-Quran tentang kisah Musa alaihissalam yang berhadapan dengan kekuasaan Firaun. Firaun telah melakukan kezaliman yang tidak terperi di bumi Mesir.
Firman Allah SWT
"Dan
(kenangkanlah) ketika Kami selamatkan kamu daripada Firaun dan
orang-orangnya, yang sentiasa menyeksa kamu dengan seksa yang
seburuk-buruknya; mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu dan
membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; sedang kejadian yang demikian
itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar daripada Tuhan
kamu." (Al-Baqarah 2:49)
Firaun
telah mengerahkan pasukan perisik dan bala tenteranya untuk memburu
anak-anak Bani Israel dan membunuh mereka. Firaun berusaha untuk
menghapuskan keturunan Bani Israel yang dibimbangi akan melenyapkan
kekuasaan di atas muka bumi.
Namun Allah SWT Maha Berkuasa untuk menghapuskan kezaliman Firaun dengan cara-cara yang tidak disangka sama sekali oleh manusia.
"Dan demi sesungguhnya! Kami telahpun mengurniakan kepadamu berbagai nikmat pada satu masa yang lain sebelum ini.
"Ketika Kami ilhamkan kepada ibumu, dengan memberitahu kepadanya:
"Letakkanlah
anakmu di dalam peti, kemudian lepaskanlah peti itu ke laut, maka
biarlah laut itu membawanya terdampar ke pantai, supaya dipungut oleh
musuhKu dan musuhnya; dan Aku telah tanamkan dari kemurahanKu perasaan
kasih sayang orang terhadapmu; dan supaya engkau dibela dan dipelihara
dengan pengawasan-Ku."
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Allah yang akan memelihara agama-Nya. Perhatikan bagaimana Musa alaihissalam
yang diburu oleh Firaun langsung dihantar oleh Allah SWT kepada Firaun
itu sendiri di dalam bakul bayi yang dihanyutkan ke hilir Sungai Nil.
Pastinya Firaun yang berhasrat untuk menghapuskan kaum lelaki Bani
Israel tidak akan teragak-agak untuk menghapuskan bayi lelaki yang
ditemuinya.
Tetapi
sebaliknya bayi lelaki yang tidak berdaya itu diselamatkan oleh Allah
dengan pandangan kasih seorang wanita. Isteri Firaun yang melihat bayi
itu lantas jatuh hati kepadanya dan melindungi Musa alaihissalam daripada disakiti oleh Firaun. Cuba renungkan bagaimana kelembutan seorang wanita melindungi Musa alaihissalam dari seorang Firaun yang amat keras hatinya yang tidak ada belas kasihan sedikit pun tersisa di hati.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Hari
ini kita berkenalan dengan seorang Firaun pada zaman ini dan bala
tenteranya yang tidak ada sedikit pun rasa bersalah ketika mereka menala
senjata dan membidik tepat untuk membunuh lelaki, wanita dan
kanak-kanak yang tidak bersenjata. Firaun yang dihantar kepada kita pada
hari ini melampaui kezaliman yang dipamerkan oleh Firaun klasik di
zaman Musa alaihissalam. Apakah mereka menyangka perbuatan mereka tidak diperhatikan oleh Allah?
Allah yang sama yang menyelamatkan Musa alaihissalam
dan menghantar baginda kepada Firaun adalah Allah yang sama yang sedang
menyaksikan dan memantau apa yang berlaku di medan Raba'ah Adawiyyah
dan di seluruh bumi Mesir. Allah yang sama yang mengazab Firaun adalah
Allah yang sedang memerhatikan setiap tindak tanduk As-Sisi dan bala
tenteranya. Tidak ada yang terselindung daripada pengetahuan Allah.
Semuanya dirakamkan dengan penuh sehingga tidak ada ruang untuk berlepas
diri daripada setiap kezaliman yang mereka timpakan ke atas rakyat
Mesir. Mereka akan diadili dengan sangat teliti dan keras.
Allah SWT berfirman:
"Dan
(terhadap) Firaun yang menguasai bangunan-bangunan yang handal kukuh?
(Semuanya itu ialah) orang-orang yang telah bermaharajalela di negeri
(masing-masing). Lalu mereka melakukan dengan banyaknya kerosakan dan
bencana di negeri-negeri itu. Dengan yang demikian, Tuhanmu mencurahkan
ke atas mereka berbagai paluan azab. Sesungguhnya Tuhanmu tetap mengawas
dan membalas (terutama balasan akhirat)."
Allah SWT kemudian membinasakan Firaun dan segala alat-alat kekuasaan dan kebesarannya.
"Dan
(kenangkanlah) ketika kami belahkan laut (Merah) untuk kamu lalui
(kerana melarikan diri daripada angkara Firaun), maka Kami selamatkan
kamu dan Kami tenggelamkan Firaun bersama-sama tenteranya, sedang kamu
semua menyaksikannya." (Al-Baqarah 2:50)
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Rakyat
Mesir yang sedang dizalimi berada dalam kebenaran. Mereka akan dibela
oleh Allah dan dimuliakan atas pengorbanan mereka. Sebahagian besar
daripada mereka, insya-Allah dikurniakan syahid yang didambakan oleh
semua manusia yang beriman dengan Allah, Rasul-Nya dan Hari Kemudian.
Persoalan
kini ialah bagaimana dengan sikap dan tindakan kita terhadap saudara
kita di Mesir? Apakah pantas untuk kita hanya berdiam diri? Apakah kita
hanya memerhati tanpa iman kita tidak terusik sedikit pun? Di manakah
hendak kita letak hadis Nabi sallallahu alaihi wasallam?
“Umat
Islam ibarat satu tubuh. Jika sebahagian tubuh merasa sakit, maka
seluruh tubuh akan merasakan sakitnya dan tidak boleh tidur malam.”
“Barangsiapa yang tidak mengambil berat tentang urusan umat ini maka ia bukan daripada kalangan mereka.”
Sesungguhnya
umat Islam pada hari ini sedang diuji oleh Allah SWT. Allah paparkan
ulangan sejarah silam di depan mata untuk menilai mirip siapakah sikap
kita? Apakah kita akan bersama dengan pendokong kebenaran dan menyatakan
al-Haq sebagai al-Haq meskipun seluruh dunia berusaha untuk
menghancurkannya.
Musuh-musuh
Islam pada hari ini bersatu hati untuk mempersempit perlaksanaan Islam
dalam kehidupan dan sistem pemerintahan. Israel, Amerika Syarikat, Arab
Saudi, negara-negara Teluk dan golongan sekular-liberal daripada
sisa-sisa pemerintahan Mubarak berusaha untuk menamatkan pemerintahan
soleh yang berdiri atas akhlak dan prinsip Islam. Mereka tidak mahu
Mesir bahkan mana-mana bumi Allah ini ditadbir oleh Islam dan
pendokong-pendokongnya yang ikhlas. Namun Allah SWT akan tetap
menyempurnakan agama-Nya.
"Mereka
sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan
mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun
orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)." (As-Saff 61:8)
Maka,
kita menyeru mereka yang memegang tampuk-tampuk kekuasaan di persada
Islam, ambillah pendirian yang menepati ruh al-Quran dan jalan kemuliaan
yang dilalui oleh para Rasul dan mereka yang mengikuti jalan-jalan itu.
Bersuaralah supaya kezaliman dan kebejatan ini dihentikan. Sanggupkah
kalian melihat darah saudara-saudara kamu terus dialirkan dengan begitu
murah? Ambillah apa juga langkah-langkah diplomatik, ekonomi dan gunalah
semua saluran di peringkat antarabangsa untuk menghentikan kebiadaban
yang menjolok mata ini.
Mereka
itu adalah saudara-saudara anda dan saudara kita. Sekurang-kurangnya
beberapa negara bukan Islam telah bersuara dan mengutuk perbuatan zalim
yang dilakukan oleh kerajaan paksaan Mesir. Mereka didorong oleh rasa
kemanusiaan dan tidak sanggup menyaksikan penderitaan yangh ditanggung
oleh rakyat Mesir. Kita bukan sahaja punya rasa kemanusiaan bahkan kita
dipertautkan oleh iman dan taqwa. Tidakkah ini hubungan yang lebih kuat
bahkan hubungan yang berkekalan dari dunia sampai akhirat, yang mampu
untuk bingkas bangun dan menyelamatkan saudara-saudara kita?
Ingatlah,
kita mencari redha Allah. Kesemua kekuasaan yang ada di atas muka bumi
ini meskipun mereka punya kekayaan yang melimpah ruah seperti miripnya
Firaun pada zaman lalu, mereka bukan tempat pergantungan. Tiba masanya
Allah akan menghapuskan kekuasaan mereka lalu mereka tidak punya
apa-apa. Bahkan mereka tidak mampu mengangkat satu jari pun walaupun
sekadar untuk menjentik apabila datang saat itu.
قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَن تَشَاء وَتَنزِعُ الْمُلْكَ مِمَّن تَشَاء
وَتُعِزُّ مَن تَشَاء وَتُذِلُّ مَن تَشَاء بِيَدِكَ الْخَيْرُ إِنَّكَ عَلَىَ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ {26}
"Katakanlah
(wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan!
Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau
kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa
yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang
Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau
kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan.
Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." (Ali Imran 3: 26)
بَارَكَ اللهُ لِيْ
وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ
مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ
تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ
العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ
وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ
المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Teks khutbah Jumaat cadangan untuk 9 Syawal 1434H nukilan:
Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
Ahli Dewan Perwakilan Nasional (DPN)
Pengerusi Aqsa Syarif
8 Syawal 1434H bersamaan 15 Ogos 2013