Saturday, 4 September 2010

IKRAM Hulu Selangor agih RM43,000 wang zakat

E-mail Print PDF
HULU SELANGOR - Sungguhpun tahun ini merupakan pengalaman Ramadan pertama Pertubuhan IKRAM Malaysia sejak dilancarkan 20 Jun lalu, IKRAM Daerah Hulu Selangor memulakan langkah positif tampil ke tengah masyarakat bersama kutipan wang zakatnya. Jumlah nilai zakat melebihi RM43,000 yang diagih-agihkan kali ini mencipta rekod tersendiri, sekurang-kurangnya untuk daerah ini.
Sebelum pelancaran IKRAM, agihan zakat yang merupakan acara tahunan daerah dikendalikan oleh JIM Hulu Selangor. Pada tahun lepas, sebanyak RM28,000 telah diagih-agihkan dan jumlah tersebut merupakan yang tertinggi sejak tahun 2002.
Kali ini, IKRAM Hulu Selangor berjaya mengumpulkan sumbangan yang berlipat ganda dan penyerahannya telah dilakukan pada hari Selasa, 31 Ogos lalu. Sumbangan yang dilakukan adalah dalam bentuk wang tunai, beras, minyak masak, gula dan kuih raya.

 
"Alhamdulillah, pada tahun ini IKRAM Hulu Selangor telah mengenal pasti hampir 350 penerima sumbangan. Antaranya adalah fakir miskin dan ibu tunggal di sekitar Serendah, Bandar Tasik Puteri, Rawang, Batang Kali dan Bukit Sentosa/Bukit Beruntung. Kami juga mendapat kerjasama yang baik daripada ahli-ahli jawatankuasa Masjid Cahaya Iman Bandar Country Homes, Masjid Nurul Iman Serendah dan Masjid Al-Ehsan Kampung Melayu Batu 16 Rawang untuk menyerahkan sumbangan kepada fakir miskin bagi kariah masing-masing," kata Timbalan Yang Dipertua IKRAM Hulu Selangor, IR Haji Ariffin Abdul Manaf selaku Pengerusi Jawatankuasa Pusat Khidmat Masyarakat IKRAM Daerah.
Selain itu, katanya, sumbangan turut diberikan kepada anak-anak yatim di Sekolah Kebangsaan Serendah, saudara-saudara baru di Bukit Sentosa, orang-orang asli di Kampung Bukit Mancung dan Kampung Hulu Melaka serta pelajar-pelajar di Kolej Yayasan UEM Lembah Beringin, Universiti Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim dan Darul Quran Kuala Kubu Bahru.
"Tidak dilupakan, sumbangan ini juga kami sampaikan kepada ahli-ahli dan rakan-rakan IKRAM Hulu Selangor sendiri yang layak serta memerlukan bantuan, manakala sumbangan yang paling jauh adalah kepada sebuah pondok tahfiz al-Quran, Madrasah Misbah Al-Falah di Parit Panjang, Baling, Kedah," tambah beliau.
Dengan terlaksananya penyerahan sumbangan sebelum hari raya aidilfitri ini, IKRAM Hulu Selangor berharap beban kewangan yang dihadapi oleh para penerima sumbangan berkurangan dan mereka terutama anak-anak dapat menyambut ketibaan Syawal nanti dengan penuh ceria.
Last Updated ( Friday, 03 September 2010 12:27 ) 
-Dipetik daripada laman utama IKRAM