Friday, 3 September 2010

Jangan malu menjadi remaja yang lebih baik - Dr Azhar

 


HULU SELANGOR - Remaja sering dianggap nakal, mudah meniru gaya hidup liar, suka berhibur, kurang berakhlak, antikebaikan dan pelbagai label negatif lain. Namun semalam, bertepatan dengan hari ulang tahun kemerdekaan negara ke-53, IKRAM Hulu Selangor membuktikan bahawa sebenarnya masih ramai lagi remaja Malaysia yang mulus hatinya dan bersedia menerima nilai-nilai kebaikan.
Dalam program yang dinamakan 'Remaja Raikan Ramadhan' atau '3R', seramai 80 remaja lelaki dan perempuan dikumpulkan dari tiga sekolah berdekatan iaitu Sekolah Menengah Bukit Sentosa, Sekolah Menengah Bukit Sentosa 2 dan Sekolah Menengah Taman Bunga Raya. Program anjuran bersama Kelab Remaja JIM (KRJ) Hulu Selangor, IKRAM Hulu Selangor dan Masjid As-Salam Bukit Sentosa itu dilangsungkan di Dewan Mesyuarat Masjid As-Salam dan sekitar kawasan masjid.
Antara objektif 3R adalah membina generasi remaja yang cintakan agama dan institusi masjid, menyuburkan sifat kepemimpinan, menimbulkan motivasi dan roh mengerjakan ibadah pada bulan puasa, menanam istiqamah dalam beribadah serta menghayati ciri-ciri anak yang soleh.
Pengisian utama disampaikan oleh Ustaz Kamal Azhari yang membawa tajuk ‘Tarbiah Ramadan Membina Kecerdasan Emosi dan Spritual’. Seperti biasa, beliau berjaya menimbulkan suasana ceria dengan gaya santai dan menghiburkan biarpun mesejnya serius.
Yang Dipertua IKRAM Hulu Selangor, Dr Muhammad Azhar Zailaini  (gambar kiri) dalam ucapannya mengingatkan para peserta supaya keluar dari dunia ilusi keseronokan remaja yang sebenarnya penuh titik hitam untuk kembali kepada fitrah Islam yang terang-benderang.
“Mungkin selepas mengikuti program 3R ini, kita akan membawa al-Quran ke sekolah untuk bertadarus sepanjang Ramadan, dan perubahan yang kita tunjukkan membuatkan kawan-kawan mengejek kita. Saya berpesan, beristiqamahlah dengan kesedaran yang kita terima. Janganlah berasa malu dengan ejekan kerana kita adalah remaja yang inginkan kebaikan,” katanya.
Perubahan yang berlaku kepada para peserta bagaimanapun adalah bonus daripada Allah s.w.t. kerana yang lebih diharapkan adalah supaya segala usaha yang dicurahkan baik oleh penganjur mahupun peserta diterima oleh-Nya dan dikira sebagai amalan soleh.
Sementara itu, Pengarah Program, Haji Shahruzzaman Ibat berkata, program 3R adalah penerusan kepada program ‘Keindahan Bersama-Mu (KBM)’ yang diadakan 17-18 Julai lalu dan KRJ Hulu Selangor akan terus mengadakan program untuk remaja dari semasa ke semasa.
Program 3R semalam ditutup dengan rasminya oleh Nazir Masjid As-Salam yang juga merupakan Fellow di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Ustaz Abu Bakar Yang (gambar kanan).
Dalam ucapannya, Ustaz Abu Bakar membawa kisah menarik yang berlaku dalam Sukan Olimpik pada tahun 1968. Dalam satu acara yang dipertandingkan iaitu maraton, peserta terakhir yang tiba ke garisan penamat mengundang rasa hairan penonton apabila beliau berlari dengan kaki yang berbalut dan berdarah. Apabila ditanya mengapa beliau masih terus berlari sedangkan kakinya cedera, peserta tersebut (John Stephen Ahkwari dari Tanzania) menjawab, “Saya dihantar ke sini oleh negara saya untuk berlari, bukan untuk memulakan larian, tetapi menghabiskannya.” Keesokan harinya, kisah dan kata-kata beliau menghiasi dada-dada akhbar seluruh dunia.
“Inilah semangat yang perlu dipegang oleh remaja, apatah lagi remaja Islam seperti anda semua. Lihatlah bagaimana Saidina Ali bin Abi Talib berani mempertaruhkan nyawanya untuk menyelamatkan Rasulullah s.a.w. sedangkan ketika itu Ali baru berumur sekitar 10 tahun, masih muda remaja. Jadi, andalah remaja yang bakal mempertahankan amanah agama ini hingga ke akhirnya,” kata Ustaz Abu Bakar dengan penuh semangat.
Beliau turut mengaitkan kehebatan bulan Ramadan dengan peristiwa-peristiwa besar dalam Islam, antaranya peristiwa turunnya al-Quran, peperangan Badar, pembebasan kota Makkah dan pembebasan Palestin oleh Salahuddin al-Ayyubi.
Menariknya, setiap peserta dan 17 fasilitator dalam program ini diberikan cenderamata berupa senaskhah al-Quran berserta terjemahannya oleh pihak penganjur. Sumbangan untuk membeli al-Quran tersebut kebanyakannya diterima dari sumber luar, dan mungkin mengambil peluang merebut keberkatan Ramadan, tabung dana yang digerakkan mendapat sambutan memberangsangkan.
Lebih menarik apabila melihat sepanjang program dari jam 8.00 pagi hingga 8.00 malam itu, peserta banyak merujuk kepada al-Quran yang ada di tangan, sama ada untuk membaca atau menjadi hujah dalam sesi pembentangan kumpulan.
Mudah-mudahan roh al-Quran itu akan terus melekat di hati mereka, dan mudah-mudahan berbahagialah penyumbang-penyumbangnya di dunia dan akhirat.




















Last Updated ( Thursday, 02 September 2010 09:03 ) 
 - dipetik daripada  Pertubuhan IKRAM